KAJANG: Universiti Management and Science (MSU) menamatkan dominasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila meraih emas futsal lelaki Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, hari ini.
Ketua jurulatih MSU, Muizzudin Mohd Haris menyifatkan kejayaan menewaskan juara bertahan itu 3-1 pada final di Arena Sukan, UNITEN sebagai pencapaian luar biasa selepas pemainnya bangkit memastikan kemenangan dalam masa tambahan.
Menurutnya, pemain menunjukkan disiplin tinggi dengan mengikut setiap arahan diberikan walaupun sempat dikejutkan dengan jaringan penyamaan UiTM pada penghujung waktu sebenar permainan.
“Alhamdulillah, saya nak ucapkan tahniah dan beri kredit kepada pemain. Hasil usaha selama ini dan hari ini mereka bermain dengan baik serta ikut setiap arahan yang diberikan.
“Walaupun kami mendahului, pada dua minit terakhir kami sedikit leka dan mereka berjaya menyamakan kedudukan. Apabila masuk masa tambahan, saya beri kredit dan pujian yang tinggi kepada pemain,” katanya.
Muizzudin mengakui ketika kedudukan terikat 1-1, perasaan bercampur-baur kerana dalam futsal, jaringan boleh terhasil pada bila-bila masa termasuk pada saat akhir permainan.
“Perasaan memang macam-macam kerana dalam futsal, tinggal 10 saat atau lima saat pun kita boleh kena gol. Saya terus beritahu pemain supaya kekalkan fokus dan tumpuan setiap minit serta setiap saat permainan.
“Saya betul-betul terharu dan terlalu gembira. Kita tahu UiTM adalah juara bertahan dan setiap edisi SUKIPT mereka akan ‘tapau’ pingat emas. Jadi, hari ini kami cipta sejarah untuk MSU, pemain dan barisan pengurusan,” katanya.

