Cadangan Universiti Sains Sukan bukan perkara baharu

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Universiti Sains Sukan perlu diangkat sebagai agenda negara dengan membabitkan tiga kementerian utama bagi memastikan perancangannya tidak terus terkubur setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.

Cadangan itu bukan perkara baharu apabila mula diperdebatkan sejak Konvensyen Sukan Kebangsaan 2008, sebelum kembali dibangkitkan beberapa kali dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negara menerusi pendekatan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan prestasi atlet.

Pemerhati sukan dan bekas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, cadangan berkenaan sudah lama dibincangkan, namun masih belum direalisasikan dan boleh diibaratkan seperti isu yang dibangkitkan sebelum disimpan semula dalam kotak.

Menurutnya, cadangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menubuhkan universiti khusus itu perlu disusuli tindakan bersama, bukan sekadar cetusan idea di peringkat kementerian.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu duduk semeja bagi membincangkan hala tuju, mekanisme pelaksanaan serta pembahagian tanggungjawab setiap pihak.PlayNextMute

“Perkara ini perlu dijadikan agenda negara, bukan agenda KPT semata-mata. Jika hanya dibawa oleh satu kementerian, kita bimbang cadangan ini akan ditangguhkan lagi apabila berlaku pertukaran menteri atau kerajaan.

“Kita tidak mahu perkara ini hanya hangat diperkatakan buat sementara waktu, kemudian senyap dan akhirnya tersimpan semula tanpa sebarang tindakan,” kata Sadek.

Sadek berkata, perancangan terdahulu turut membayangkan usaha menghimpunkan beberapa institusi sukan di bawah satu bumbung, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), sekolah sukan dan universiti khusus yang bakal diwujudkan.

Menurutnya, pendekatan bersepadu itu berupaya menghubungkan pendidikan, pembangunan atlet, penyelidikan serta sokongan sains sukan dalam satu ekosistem yang lebih tersusun.

Beliau berkata, universiti berkenaan tidak seharusnya terhad kepada pengajian sains sukan atau melahirkan atlet semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi bidang lebih luas termasuk teknologi sukan, perniagaan sukan, pengurusan, penganjuran pertandingan dan penyelidikan prestasi tinggi.

Katanya, Malaysia sudah mempunyai beberapa fakulti sains sukan di universiti tempatan, namun kepakaran dan kemudahan sedia ada perlu dimanfaatkan secara optimum melalui kerjasama antara institusi, bukannya bergerak secara berasingan.

“Setiap universiti mempunyai kepakaran masing-masing, tetapi kita memerlukan satu pendekatan yang menyatukan kekuatan itu bagi memenuhi keperluan sukan negara, terutama dalam pembangunan atlet dan persediaan menghadapi pertandingan berprestasi tinggi.

“Kita juga perlu memastikan penyelidikan yang dijalankan benar-benar memenuhi keperluan sukan, bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik tanpa hubungan langsung dengan keperluan atlet dan pertandingan,” katanya.

Sadek berkata, penyelarasan di bawah satu kerangka nasional turut membolehkan penggunaan dana, kepakaran, kemudahan dan tenaga pakar dirancang dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi serta institusi pendidikan.

Beliau menjelaskan, peranan KPM juga penting kerana pembangunan atlet perlu mempunyai kesinambungan daripada peringkat sekolah sukan, program pembangunan bakat dan laluan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebelum atlet meneruskan pengajian sambil menjalani latihan berprestasi tinggi.

Dari segi pelaksanaan, Sadek berpandangan pembinaan asas universiti itu boleh dimulakan secara berperingkat, dengan tempoh awal sekitar tiga tahun bagi menyediakan struktur pengurusan dan kemudahan asas, manakala pembangunan lengkap institusi berkenaan memerlukan perancangan jangka panjang.

Katanya, penubuhan universiti itu juga perlu disertai pelan induk yang jelas, termasuk pembahagian kepakaran mengikut wilayah, supaya fakulti sains sukan sedia ada dapat terus menyumbang dan tidak berlaku pembaziran sumber apabila institusi baharu diwujudkan.

Beliau berharap cadangan berkenaan tidak sekadar menjadi pengumuman yang mencetuskan perbincangan sementara, sebaliknya diterjemahkan kepada dasar bersama dengan sasaran, peruntukan dan tanggungjawab setiap kementerian yang ditetapkan secara jelas.

“Jika kita benar-benar mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan sukan di rantau ini, kita perlu melihat pembangunan sukan secara menyeluruh. Universiti Sains Sukan perlu dibina atas kerjasama semua pihak dan kesinambungan dasar, bukan bergantung kepada siapa yang memegang jawatan menteri,” tambahnya.