Lebih 300,000 penduduk Indonesia alami jangkitan pernafasan akibat jerebu

PALANGKARAYA: Lebih 300,000 penduduk Indonesia mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat kebakaran hutan dan jerebu tebal yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu, dengan keadaan paling buruk dilaporkan di wilayah Kalimantan Tengah.

Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah itu membabitkan penduduk di tujuh wilayah yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan antara Ogos dengan Oktober.

Di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan akibat jangkitan pernafasan ketika kebakaran hutan terus merebak dan menyelubungi kawasan kediaman dengan asap tebal yang berbahaya kepada kesihatan.

Orang ramai semakin bimbang apabila tidak mampu lagi bertahan dikelilingi asap tebal walaupun memakai pelitup muka dan cermin mata keselamatan.

Keadaan serupa turut dialami ramai penduduk yang terpaksa mendapatkan bantuan oksigen akibat kesukaran bernafas.PlayNextMute

Di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palangkaraya, ramai penduduk menerima rawatan menggunakan alat ‘nebuliser’ dan bantuan oksigen selepas mengalami sesak nafas serta sakit kepala.

Menurut pakar kesihatan, asap kebakaran hutan mengandungi pelbagai bahan berbahaya, termasuk formaldehid, hidrogen sianida, ammonia dan zarah halus PM2.5.

Penunggang motosikal memakai pelitup muka ketika meredah jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Indonesia. – Foto AFP
Penunggang motosikal memakai pelitup muka ketika meredah jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Indonesia. – Foto AFP

Zarah PM2.5 amat berbahaya kerana saiznya yang sangat kecil membolehkannya memasuki paru-paru dan aliran darah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pendedahan kepada zarah tersebut dengan peningkatan risiko penyakit serius dan kematian.

Menurut badan pemantau, Nusantara Atlas, kebakaran hutan di Indonesia memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan sehingga September lalu.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia belum mengesahkan atau mempertikaikan angka itu.

Krisis kebakaran itu turut mencetuskan bantahan diplomatik daripada negara jiran yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan, selain meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat Indonesia sendiri.

Bagi menangani masalah kesihatan, Kementerian Kesihatan Indonesia menyediakan hampir 500 kemudahan rawatan di seluruh negara yang menawarkan bantuan oksigen dan rawatan percuma kepada mangsa jerebu.

Penduduk menerima bantuan oksigen daripada bas oksigen bergerak percuma yang disediakan kerajaan bandar susulan keadaan berjerebu akibat kebakaran hutan di Palangkaraya, wilayah Kalimantan Tengah, Indonesia. – Foto REUTERS
Penduduk menerima bantuan oksigen daripada bas oksigen bergerak percuma yang disediakan kerajaan bandar susulan keadaan berjerebu akibat kebakaran hutan di Palangkaraya, wilayah Kalimantan Tengah, Indonesia. – Foto REUTERS

Hampir 300 kemudahan tersebut terletak di Kalimantan Tengah, antara kawasan paling teruk dilanda kebakaran.

Pemerintah tempatan turut mengerahkan bas yang dilengkapi tangki oksigen ke sekitar Palangkaraya bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pernafasan.

‘Bas Oksigen’ itu dikendalikan petugas perubatan bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan oksigen melalui tiub kecil yang dipasang pada hidung selama lima hingga 10 minit setiap sesi.

“Perkhidmatan ini bertujuan membantu penduduk mendapatkan bekalan oksigen khususnya mereka yang mengalami masalah pernafasan.

“Golongan rentan diutamakan ketika berdepan keadaan kualiti udara tidak sihat,” menurut Jabatan Kesihatan wilayah Kalimantan Tengah menerusi hantaran di Instagram minggu ini.

Petugas perubatan di dalam bas berwarna putih dan biru itu merekodkan maklumat pesakit serta memberikan bantuan oksigen kepada penduduk yang mengalami kesukaran bernafas.

Pegawai kesihatan tempatan, Riduan, berkata golongan berusia antara 17 dan 59 tahun paling ramai mengalami masalah pernafasan kerana mereka terpaksa keluar bekerja walaupun udara tercemar. – AGENSI