Ducati akui Honda semakin hampir, tidak gentar era 850cc

SEPANG: Ducati mengakui Honda bakal memberikan tentangan lebih sengit dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2027, namun tidak gentar menghadapi perubahan besar peraturan teknikal termasuk penggunaan enjin berkapasiti 850cc.

Ketua Komunikasi MotoGP Ducati Corse, Artur Vilalta, berkata kemajuan Honda semakin jelas dan pengeluar Jepun itu dijangka mampu merapatkan jurang prestasi selepas ketinggalan di belakang Ducati dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Katanya, perkembangan Honda dapat dilihat ketika ujian jentera MotoGP 2027 di Red Bull Ring, Austria, pada September lalu, sekali gus menunjukkan kesungguhan pengeluar berkenaan untuk kembali menjadi pencabar utama.

“Pengeluar Jepun, khususnya Honda, sedang melakukan kerja yang sangat baik. Kami melihatnya ketika ujian di Austria pada September lalu dan kami tahu mereka sedang bekerja dengan bersungguh-sungguh.

“Saya yakin mereka akan menjadi lebih hampir kepada kami berbanding tiga atau empat musim kebelakangan ini,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini, kelmarin.Backward Skip 10sPlay VideoForward Skip 10s

Vilalta berkata, perubahan peraturan pada 2027 memberikan peluang kepada semua pengeluar untuk membangunkan semula jentera masing-masing, sekali gus berpotensi mengubah susunan persaingan MotoGP.

Menurutnya, perubahan itu bukan hanya membabitkan pengurangan kapasiti enjin daripada 1,000cc kepada 850cc, malah turut merangkumi pembangunan aerodinamik dan pelbagai komponen teknikal lain yang mempengaruhi prestasi jentera.

“Semua pasukan perlu bermula semula daripada segi cara mereka membangunkan motosikal, bermula dengan enjin, aerodinamik dan banyak perkara lain,” katanya.

Bagaimanapun, Vilalta menegaskan Ducati tidak melihat perubahan peraturan berkenaan sebagai masalah kerana semua pengeluar perlu berdepan cabaran sama dalam menyesuaikan pembangunan jentera.

“Bagi saya, ia bukan masalah kerana peraturan itu sama untuk semua pengeluar. Sudah tentu ia juga satu peluang daripada sudut keselamatan kerana peraturan baharu ini diperkenalkan atas sebab keselamatan.

“Kami semua berada dalam keadaan yang sama. Dengan enjin dan kapasiti baharu ini, MotoGP akan menjadi lebih selamat dan kami semua bersetuju mengenainya,” katanya.

Peraturan teknikal 2027 menetapkan kapasiti enjin MotoGP dikurangkan daripada 1,000cc kepada 850cc bagi mengehadkan kelajuan tertinggi, selain meningkatkan kecekapan dan keselamatan.

Kawalan lebih ketat turut dikenakan terhadap aerodinamik, manakala semua peranti pelarasan ketinggian motosikal dan sistem bantuan permulaan atau holeshot akan diharamkan.

Jentera MotoGP juga akan menggunakan bahan api bukan fosil sepenuhnya, manakala kapasiti tangki dikurangkan kepada 20 liter bagi perlumbaan Grand Prix dan maksimum 11 liter untuk perlumbaan Sprint.

Vilalta berkata, walaupun Ducati kini menikmati era penguasaan dalam MotoGP, tiada sebab pengeluar Itali itu tidak mampu meneruskan kejayaan sama selepas peraturan baharu dikuatkuasakan.

“Kami kini berada dalam era Ducati mendominasi kejuaraan, tetapi mengapa kami tidak boleh melakukan perkara sama dengan enjin dan peraturan baharu?

“Cabaran itu memang ada dan kita akan melihat apa yang berlaku, bukan hanya musim depan, tetapi juga pada musim-musim berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, cabaran terbesar Ducati bukan hanya menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan, tetapi memastikan prestasi motosikal dan cara kerja pasukan terus dipertingkatkan setiap musim.

“Cabaran terbesar ialah mengekalkan tahap prestasi, bukan hanya apabila peraturan baharu diperkenalkan, tetapi setiap tahun dan setiap musim. Kami sentiasa perlu meningkatkan prestasi motosikal, malah cara pasukan bekerja.

“Setiap tahun adalah satu cabaran, tetapi cabarannya menjadi lebih besar apabila ada peraturan baharu seperti tahun depan,” katanya.

Selain perubahan teknikal, MotoGP akan memperkenalkan format hujung minggu baharu pada 2027, termasuk sesi kelayakan khusus bagi perlumbaan Sprint dan pengurangan masa latihan di litar.

Vilalta berkata, semua perubahan berkenaan perlu diberikan perhatian ketika Ducati berusaha mengekalkan daya saing dalam keadaan pengeluar lain turut meningkatkan kemampuan masing-masing.

Ujian di Red Bull Ring pada 21 September lalu membabitkan jentera 850cc dan tayar Pirelli yang akan digunakan dalam era baharu MotoGP, dengan Honda antara pengeluar yang mengambil bahagian.