,

Telinga budak bengkak, luka disyaki didera pengasuh taska

MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun mengalami luka dan bengkak di telinga dipercayai didera pengasuh sebuah taska di Taman Melayu, Padang Temu di sini semalam.

Apa yang mengejutkan, kejadian itu berlaku di taska yang sama menyebabkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap dan badannya dibedung di atas tilam taska berkenaan.

Dalam kejadian terhadap kanak-kanak tiga tahun itu, ibu mangsa, Nurul Shafiqa Dawood, 33, berkata, kejadian terbongkar ketika dia mengambil anaknya itu, Faiqah Dalila Faris Danial, 3, dari taska berkenaan pukul 5.30 petang semalam.

“Anak kemudian mengadu cikgu (pengasuh) telah menepuk telinga kirinya dan kesakitan ditanggung berlarutan sehingga anak menangis sepanjang masa di rumah menyebabkan saya terpaksa menghantarnya ke klinik pada pukul  11 malam tadi.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan luka dan bengkak di telinga kiri anak tunggalnya itu yang turut disahkan doktor di Hospital Melaka sebelum saya membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, dia kesal kerana menghantar anak sulung daripada dua beradik itu bersama bekas suami dalam keadaan sihat semalam namun balik dengan kesan kecederaan.

“Ini bukanlah kejadian pertama yang mana pada Februari lalu, anak juga pernah mengadu sakit di kemaluan ketika hendak buang air kecil dan pemeriksaan mendapati berlaku kemerah-merahan pada kemaluannya.

“Waktu itu, anak beritahu pengasuh ada memukul dan mencucuk-cucuk kemaluannya dengan rotan namun ketika itu saya tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan kes berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette