LONDON: Pemain tengah Jerman, Florian Wirtz akhirnya membuat penampilan sulung bersama Liverpool selepas melengkapkan perpindahan yang memecah rekod dari Bayer Leverkusen bernilai £116 juta (RM659 juta) bulan lalu, apabila The Reds membelasah Stoke City 5-0 dalam aksi persahabatan tertutup.
Wirtz tidak diturunkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Preston North End dalam aksi pramusim pertama kendalian Arne Slot minggu lalu, namun beraksi pada separuh masa pertama perlawanan menentang kelab Liga Kejuaraan itu di Pusat Latihan AXA, Kirkby lewat malam tadi.
Penyerang utama, Darwin Nunez mempamerkan ketajaman pramusim apabila meledak hatrik pada separuh masa pertama, manakala Rio Ngumoha turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum Federico Chiesa menyempurnakan kemenangan besar itu selepas rehat.
Wirtz turun sebagai pemain nombor 10 dalam kesebelasan utama yang turut menyaksikan kemunculan pertama kapten Virgil van Dijk pada pramusim kali ini.
Menurut Liverpool Echo, barisan serangan Liverpool dibarisi Ngumoha di sayap kiri, Mohamed Salah di kanan dan Nunez sebagai penyerang tengah, manakala Curtis Jones bergandingan dengan pemain muda, Trey Nyoni di jentera tengah.

Menariknya, Dominik Szoboszlai diturunkan sebagai pertahanan kanan, dengan Joe Gomez bergandingan bersama Van Dijk di pertahanan tengah, Andy Robertson di kiri dan penjaga gol baharu, Giorgi Mamardashvili mengawal gawang.
Pada babak kedua, Ibrahima Konate membuat penampilan pertama musim panas ini bersama barisan kedua yang serba baharu.
Armin Pecsi, pemain muda yang baru ditandatangani, mengawal gawang, Kostas Tsimikas bermain di posisi pertahanan tengah, Conor Bradley di pertahanan kanan dan Milos Kerkez di pertahanan kiri.
Liverpool kini bersedia memulakan siri jelajah pramusim mereka.
Skuad kendalian Slot dijadual menentang AC Milan di Hong Kong Sabtu ini, sebelum meneruskan aksi kedua menentang Yokohama F-Marinos di Jepun. – AGENSI

