Ibu Zayn Rayyan terdiam disoal dakwaan anak diculik, nafi terserempak jiran

PETALING JAYA – Saksi pembelaan pertama kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, terdiam seketika apabila diasak dengan soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berhubung dakwaannya anaknya kemungkinan telah diculik pada hari kejadian.

Dalam pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh, Raja Zaizul mempersoalkan tindakan Ismanira yang sempat naik ke rumah bersendirian untuk meletakkan barang-barang yang dibeli dan didakwa menukar pakaian sebelum kembali turun mencari anaknya, walaupun pada masa sama mendakwa Zayn mungkin telah diculik.

“Anak kamu didakwa oleh kamu telah diculik, tapi kamu sempat naik atas letak barang dan tukar baju?” soal Raja Zaizul.

Soalan itu menyebabkan Ismanira, ibu kepada kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, terdiam seketika sebelum menjawab dia tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan tersebut.

Jelas Ismanira, dia hanya naik sebentar ke rumah untuk meletakkan beg sekolah Zayn dan dua beg plastik barangan yang dibelinya dari sebuah pasar raya sebelum kembali turun mencari anaknya di sekitar kawasan apartmen.

“Saya naik tidak lama, hanya untuk letakkan barang dan buka pintu rumah sahaja. Kurang daripada lima minit. Selepas itu saya terus bergegas mencari di setiap tingkat apartmen,” katanya.

Ismanira turut memberitahu, dia meninggalkan pintu rumah terbuka dengan harapan sekiranya Zayn pulang, anaknya itu boleh terus masuk ke rumah.

Wanita itu juga tidak menjawab pertanyaan mengapa beliau tidak menyatakan ada kemungkinan anaknya itu diculik ketika membuat laporan polis selepas lima jam kehilangan kanak-kanak.

Dalam prosiding itu juga, Ismanira menafikan pernah terserempak dengan jirannya yang juga saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali, pada hari kehilangan Zayn.

Raja Zaizul mengemukakan cadangan keterangan Ismanira meletakkan beg sekolah di rumah tidak benar seperti dakwaan Rashidah yang mendakwa terserempak dua kali dengan Ismanira di tangga Blok R iaitu pertama ketika menghantar anak ke sekolah pada jam 12.15 tengah hari.

Kemudian kali kedua ketika pulang ke rumah kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Bagaimanapun, Ismanira menolak cadangan itu dan menegaskan bahawa dia tidak pernah bertemu Rashidah pada hari berkenaan.

“Pada waktu itu waktu bekerja, tidak ramai orang kecuali di kedai dan gerai. Saya tidak berselisih dengan orang di blok ini,” dakwanya.

Namun sebelum ini media melaporkan Rashidah, dalam keterangannya pada Februari lalu, mendakwa berjumpa Ismanira sebanyak dua kali pada hari kejadian, kali pertama di tangga Blok R sekitar jam 12.15 tengah hari ketika menghantar anaknya ke sekolah, dan kali kedua kira-kira jam 12.35 tengah hari ketika pulang semula ke rumah.

Ismanira bagaimanapun turut menafikan dakwaan bahawa dia menukar pakaian sambil membawa beg sekolah Zayn ketika dilihat oleh Rashidah menaiki tangga menuju ke rumah.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.

Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah Isnin lepas telah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. –MalaysiaGazette