Tuduh kerajaan tak beri tumpuan Bumiputera: PM bidas pembangkang ‘tak baca’ dokumen RMK13

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang menuduh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak memberi tumpuan kepada pembangunan Bumiputera.

Menyifatkan tindakan itu sebagai bukti dokumen RMK13 yang dibekalkan kepada mereka tidak dibaca dan ditelaah, Perdana Menteri menegaskan perbelanjaan untuk Bumiputera adalah antara yang tertinggi diperuntukkan kerajaan.

Memberi contoh Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang digariskan di bawah RMK13, beliau berkata ia antara contoh perbelanjaan disediakan kerajaan untuk Bumiputera.

“RMK13 ini harus ditelaah kita semua. Jika tidak, (didakwa peruntukan) untuk Kampung Baru Cina kita beri, tapi Bumiputera tidak ada. Maknanya, (orang yang dakwa itu) belum baca (dokumen RMK13).

“Jika baca, langkah PuTERA35 itu, perbelanjaan untuk Bumiputera adalah antara yang tertinggi, termasuk rizab Melayu di Bandar Malaysia. Belum pernah sejak merdeka.

“Ini Kerajaan MADANI saja berani buat. Sebelum ini tiada, walaupun (pembangkang) uar-uarkan mengenai Melayu, bukan main bunyi berdentum dentam,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) mendakwa RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu tidak memberi tumpuan kepada pembangunan untuk Bumiputera, sebaliknya memberi perhatian kepada perkampungan baharu Cina.

Di bawah RMK13, PuTERA35 antara lain akan memberi tumpuan kepada strategi 3P iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.

Tumpuan juga akan terus diberikan dalam mempersiapkan syarikat Bumiputera untuk disenarai di Bursa Malaysia, antaranya melalui perlumbaan ‘relay’ yang bertujuan mengupayakan dan meramaikan usahawan Bumiputera seawal peringkat syarikat mula niaga hinggalah muncul sebagai syarikat tersenarai.