Lebih 50 parti politik mendaftar sertai pilihan raya Myanmar

HANOI: Sejumlah 55 parti politik mendaftar untuk menyertai Pilihan Raya Umum Myanmar yang akan datang, dengan sembilan daripadanya dijangka bertanding di seluruh negara, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik stesen penyiaran milik kerajaan, Myanmar Radio and Television (MRTV).

MRTV sebelum ini melaporkan yang Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar mengumumkan negara itu merancang untuk melancarkan fasa pertama pilihan raya umum pada 28 Disember, sebagai sebahagian pelan tindakan bagi mengadakan pilihan raya pertama dalam tempoh hampir lima tahun.

Pilihan raya itu akan dijalankan dalam beberapa fasa, namun tarikh bagi fasa berikutnya belum ditentukan dan akan diumumkan kemudian, bergantung kepada situasi keselamatan.

Pada Jun, akhbar harian milik kerajaan The Global New Light of Myanmar memetik kenyataan ketua kerajaan tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, bahawa pilihan raya umum dijangka diadakan antara Disember 2025 dan Januari 2026.

Sebelum ini, Junta Myanmar mengumumkan pilihan raya negara itu akan bermula pada 28 Disember dengan pihak junta memulakan tinjauan berperingkat yang diboikot oleh kumpulan pembangkang dan dikritik pemantau antarabangsa.

“Fasa pertama pilihan raya umum demokrasi berbilang parti bagi setiap Parlimen akan bermula pada Ahad, 28 Disember 2025.

“Tarikh untuk fasa seterusnya akan diumumkan kemudian,” kata Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan dalam satu kenyataan.

Myanmar berhadapan perang saudara sejak tentera menggulingkan kerajaan pemimpin demokratik, Aung San Suu Kyi pada 2021 yang mereka tuduh melakukan penipuan pilihan raya.

Bekas pemimpin itu dituduh mempengaruhi undi pada 2020 untuk memenangi penggal kedua dalam jawatan.

Beberapa kawasan di negara itu berada di luar kawalan junta dan ditadbir oleh sejumlah gerila pro demokrasi serta kumpulan etnik bersenjata yang berikrar untuk menyekat pengundian di kawasan mereka.

Junta yang diketuai Min Aung menggembar-gemburkan pilihan raya sebagai cara untuk menamatkan konflik, namun Suu Kyi kekal dipenjarakan dan seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan undian itu sebagai ‘sandiwara” yang direka untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera secara berterusan.