ARANOLS ditemui pada majlis pelancaran edisi terbaharu Peraduan Nestle Gaji Seumur Hidup di Taman Tun Dr Ismail. FOTO Aswadi Alias
Kuala Lumpur: Nestlé (Malaysia) Berhad menjangkakan berlaku sedikit kenaikan harga kepada beberapa produk tertentu keluarannya tahun ini berikutan impak ketidaktentuan harga komoditi seperti koko dan kopi.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, penyemakan harga sentiasa menjadi langkah terakhir selepas pihaknya membuat semua tindakan terutama dalam meningkatkan kecekapan dan mengamalkan langkah penjimatan secara dalaman.
“Memang ada banyak ketidaktentuan di pasaran contohnya, koko meningkat dua kali ganda buat tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
“Namun, kami sentiasa berhati-hati dalam berbicara mengenai kenaikan harga kerana menyedari ia bakal memberi impak kepada kuasa beli keluarga di Malaysia.
“Jadi tidak semua (kenaikan kos) akan dipindahkan kepada pengguna, tetapi mungkin ada sedikit kenaikan harga yang perlu kami ambil dalam satu atau dua produk dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Edisi Terbaharu Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup 2024, di sini, hari ini.
Aranols berkata demikian mengulas mengenai impak kenaikan harga komoditi kepada produk keluaran syarikat itu.
Dalam pada itu, Aranols berkata, pelbagai faktor yang mempengaruhi sentimen pengguna tahun ini seperti inflasi dalam makanan yang dipacu situasi komoditi global.
“Semua ini akan memberikan impak, bukan hanya makanan namun sentimen pengguna juga sedikit perlahan.
“Tetapi kami akan terus menyediakan produk selamat, berkualiti dan memenuhi cita rasa pengguna berbanding pesaing,” katanya.
Mengulas dakwaan sebuah pertubuhan aktivis global mengenai tahap gula tambahan tinggi dalam produk Nestle yang menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin, Aranols berkata, pihaknya sentiasa mematuhi undang-undang ketat ditetapkan badan antarabangsa termasuk pihak berkuasa berkaitan di Malaysia.