Lebih 1.2 juta dapat hak runding gaji, syarat kerja

Kuala Lumpur: Lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini bakal mendapat hak merundingkan gaji dan syarat kerja adalah antara perkara dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

RUU berkenaan antara lain membolehkan pekerja gig mewujudkan proses jelas bagi pertikaian industri menerusi penubuhan Tribunal Pekerja Gig yang bakal ditubuhkan selepas akta itu diluluskan kelak.

Penggubalan RUU yang memberi tumpuan kepada empat teras utama dan merangkumi 10 bahagian dengan 112 fasal itu juga bakal memperkukuh ekosistem ekonomi gig lebih adil, progresif dan inklusif.

Berdasarkan naskhah biru, RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi terma dan syarat perlu dinyatakan dalam perjanjian perkhidmatan bagi maksud melindungi hak pekerja gig.

Fasal 4 memastikan perjanjian pekerja gig sedia ada kekal sah dan terus memberi faedah di bawah akta baharu.

Fasal 5 memperuntukkan mana-mana terma dan syarat tidak memihak kepada pekerja gig di bawah perjanjian perkhidmatan hendaklah terbatal.

Fasal 6 pula bertujuan mengadakan peruntukan mana-mana terma dan syarat lebih memihak kepada pekerja gig, berbanding mana-mana terma dan syarat di bawah akta dicadangkan perlu menjadi sah.

Fasal 7 memperuntukkan jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan di bawah akta dicadangkan, perkara itu tidak dihalang daripada diperuntukkan dalam perjanjian perkhidmatan atau dirundingkan antara entiti kontrak dengan pekerja gig.

Bahagian III RUU itu adalah berkaitan peruntukan berhubung pekerja gig dan hak dilindungi di bawah akta dengan Fasal 8 bertujuan mengadakan peruntukan hak pekerja gig, termasuk hak tambahan jika entiti kontrak adalah penyedia platform.

Fasal 9 bertujuan melarang entiti kontrak daripada menghalang hak pekerja gig mempunyai perjanjian dengan pihak lain, mendiskriminasi mana-mana pekerja gig berkenaan dengan perjanjian perkhidmatan atau menamatkan perjanjian perkhidmatan secara tidak adil.

Sementara itu, Bahagian IV RUU adalah berkaitan mekanisme kilanan (pertikaian) dalaman dan proses perdamaian di bawah akta dicadangkan dengan Fasal 17 bertujuan mengadakan peruntukan bagi mekanisme kilanan dalaman yang perlu disediakan entiti kontrak selain seorang individu atau pemunya tunggal.

Bahagian V RUU itu pula berkaitan Tribunal Pekerja Gig dan perkara berkaitan lain dengan Fasal 24 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Pekerja Gig dan Fasal 25 bagi mewujudkan peruntukan keanggotaan tribunal, terma jawatan dan elaun.