Bekal lima gol, NSFC belum senyum lebar

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) berhasrat mempertahankan kelebihan jaringan yang mereka miliki ketika membuat perhitungan sekali lagi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, dalam aksi kedua saingan 16 pasukan Piala FA, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Dalam aksi pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 18 Ogos lalu, skuad Hobin Jang Hobin melakar kemenangan besar 5-0 ke atas PDRM.

Pemain pertahanan tengah Negeri Sembilan, Zainal Abidin Jamil, mengakui bahawa dia dan rakan sepasukan tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kelebihan jaringan yang dimiliki pasukan itu.

Menurutnya, semua pemain yang bakal dipilih menggalas tanggungjawab itu nanti perlu berwaspada dengan ancaman yang bakal dilakukan skuad Sang Saka Biru, yang pastinya akan berjuang habis-habisan di laman mereka sendiri.

“Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan jaringan 5-0, kerana dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku dan sebarang kesilapan ketika perlawanan boleh memberi kesan kepada keputusan.

“Untuk itu, saya dan rakan-rakan perlu lebih berhati-hati sepanjang tempoh permainan dengan memastikan tidak membuat kesilapan yang boleh memberi peluang pihak lawan mengambil kesempatan menjaringkan gol.

“Walaupun ramai yang beranggapan kami sudah sebelah kaki ke peringkat suku akhir kerana berada pada kedudukan yang selesa, tapi itu bukan suatu jaminan kerana selagi perlawanan belum berakhir, kami tidak boleh leka dan perlu terus berjuang untuk membawa kemenangan kepada pasukan,” kata Zainal Abidin.

Tonggak berpengalaman berusia 26 tahun itu berazam untuk memberikan persembahan terbaik jika pengendali Mohd Nizam Jamil memilihnya beraksi menentang pasukan bimbingan Eddy Gapil itu.

Dia sedar pasukannya perlu mengekalkan momentum baik pada pertembungan berkenaan untuk memastikan impian melangkah ke suku akhir tidak tersasar.

“Kami perlu turun dengan komitmen paling tinggi bagi memastikan kelebihan jaringan di tempat sendiri dapat dipertahankan sehingga tamat perlawanan dan seterusnya membawa pasukan melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA,” katanya.

Menurutnya, Negeri Sembilan sudah lama tidak berpeluang melangkah jauh dalam saingan Piala FA selepas kali terakhir menjulang kejuaraan itu pada tahun 2010.