Amorim berpotensi dipecat minggu ini – Shearer

LONDON: Legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) Alan Shearer memberi amaran Ruben Amorim berisiko dipecat hujung minggu ini akibat ketegasannya berpegang pada falsafah bola sepaknya.

Manchester United akan melayan kunjungan Chelsea di Old Trafford tengah malam esok, dengan kemungkinan tergelincir ke zon penyingkiran sekiranya keputusan tidak memihak mereka.

United sedang melalui permulaan liga terburuk dalam tempoh 33 tahun, berada di tangga ke-14 dengan hanya empat mata daripada empat perlawanan.

Walaupun berdepan tekanan, Amorim tetap bertegas untuk mengekalkan sistem kegemarannya, 3-4-3.

Shearer merasakan hal itu menyebabkan jurang besar antara mereka dengan Manchester City ketika kekalahan 0-3 hujung minggu lalu – dan Amorim tidak boleh mengulangi kesilapan sama.

Beliau memberitahu Betfair: “Ia bagaikan pertembungan lelaki menentang budak-budak hujung minggu lalu di Etihad. Jauh bezanya dari segi kemampuan, sistem, sikap, dan apa sahaja yang boleh anda namakan, walaupun United telah berbelanja besar pada musim panas ini.

“Saya tidak fikir mereka mampu sekali lagi kalah dengan cara sebegitu hujung minggu ini. Jika ia berlaku, maka kita perlu bimbang dengan apa yang bakal terjadi seterusnya terhadap pengurus itu.

“Sesuatu mesti berubah dengan cepat. Man United tidak boleh terus kekal di tangga ke-14, 15 atau 16 dalam Liga Perdana. Setakat ini tidak ada sebarang peningkatan dan itu tidak boleh diterima selepas jumlah besar yang telah dibelanjakan.

“Mesti ada sesuatu yang menggerakkan mereka, dan jika itu tidak berlaku segera, semua orang tahu apa akibatnya dalam dunia pengurusan bola sepak.

“Tanggungjawab ini ada pada pengurus dan juga pemain, tetapi saya rasa sistem permainan memainkan peranan besar. Walaupun pengurus berkata sebaliknya, dia tidak akan mengubah caranya – dia akan kekal dengan sistem itu.

“Dia sama ada akan jatuh bersama prinsipnya atau meraih kejayaan yang diperlukan. Buat masa ini, keadaannya nampak sangat negatif, dan saya tidak fikir ramai pemain sesuai dengan sistem itu.

“Amorim tahu, dia percaya, dan sama ada dia akan mengekalkan atau kehilangan kerjanya. Ia hujung minggu yang sangat menarik, dan satu perlawanan di mana dia tidak boleh sekali lagi dimalukan seperti minggu lalu.”

Pengendali dari Portugal itu bagaimanapun masih menerima sokongan daripada pihak atasan kelab, namun mesej sebegitu kadang-kala boleh menjadi mengelirukan. – AGENSI