PRN Sabah: Kestabilan politik lebih penting, PH cukup jika diberi 23 kerusi DUN

KOTA KINABALU: PKR Sabah berpendapat 23 kerusi DUN sebagai mencukupi jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperuntukkan sedemikian kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata keutamaan pihaknya adalah memastikan tidak ada perselisihan antara parti komponen dalam gabungan disamping menjaga kestabilan politik negara dan negeri ini.

“Apa yang penting kita mahu menjaga kestabilan politik negara sebenarnya. Kita tidak mahu dalam konteks negeri Sabah ini, kita akan wujudkan keretakan antara parti-parti komponen.

“Jadi itu yang kita mahu supaya hanya 20 (kerusi DUN Sabah) .. maksimum 23 tapi mungkin kurang lagi selepas perbincangan-perbincangan. Tapi bagi kita itu sudah mencukupi.

“Kita mahu membentuk kerajaan stabil di peringkat negeri dan juga kita mahu supaya kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan nanti juga akan bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat,” katanya selepas Sambutan Maulidur Rasul 1447H Parlimen Sepanggar 2025 bertempat di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, semalam.

Semalam, media melaporkan GRS dikatakan menawarkan hingga 23 kerusi kepada PH dan perkara terbabit menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkannya ia bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah dalam menghadapi PRN17.