Apa rakyat mahu ketika ini bukan hak pelajar jenayah rogol duduki SPM – Maszlee

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berpandangan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menunjukkan ketegasan, langkah drastik dan kepimpinan susulan pelbagai isu  termasuk terbaharu kejadian rogol pelajar di sekolah.

Menurut beliau, rakyat ketika ini menginginkan keyakinan mereka terhadap pendidikan, keselamatan dan kualiti pengajaran di sekolah dipulihkan sesegera mungkin.

Ketika ini juga, apa yang dimahukan rakyat bukanlah hak pelajar yang melakukan jenayah rogol menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Rakyat inginkan jawapan; “Isu keselamatan murid adalah keutamaan KPM. KPM tidak akan bertoleransi dengan sebarang perlakuan jenayah di dalam kawasan sekolah.

“Sementara menantikan siasatan oleh pihak polis, berdasarkan kuasa yang ada pada pengetua dan pihak sekolah, kami mengambil keputusan untuk membuang mereka yang terlibat dari sekolah.

“Tindakan tegas ini adalah amaran kepada semua pihak bahawa KPM akan memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat yang paling selamat untuk murid-murid!” katanya menerusi laman sosial Facebook malam ini.

Terdahulu, beliau dihubungi media, para guru, ibu bapa dan banyak pihak lain berhubung kejadian pelajar dirogol bergilir-gilir dalam kejadian di sebuah sekolah di Melaka seperti yang dilaporkan dengan meluas.

Pada awalnya, tambah Maszlee memilih untuk tidak memberikan pandangan secara terbuka namun naluri seorang bapa menuntutnya untuk mencoretkan sesuatu.

“Isu rogol, diserang, merogol secara bergilir, merakamkan perbuatan jenayah terkutuk dan disebarkan…Di dalam kawasan sekolah! Adalah satu yang Maha terkutuk!

“Jenayah seperti ini amat luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Tambah Maszlee, sekiranya masih mempunyai anak perempuan di sekolah, beliau sebagai bapa akan berasa risau, takut dan bimbang dengan apa yang berlaku.

“Selepas kes arwah Faris di tahfiz, arwah Zara di asrama, kes gambar bogel buatan AI dan pengetua mencabul murid di sekolah Cina dan siri kes-kes buli di sekolah dan asrama, rakyat, terutamanya ibu bapa berasa gundah gulana, trauma, bimbang dan risau.

“Rakyat inginkan keyakinan mereka terhadap pendidikan, keselamatan dan kualiti pengajaran di sekolah dipulihkan sesegera mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette