‘Video ulama tunai solat bersama bunian sudah dipadam sejak Oktober tahun lalu’ – Syeikh Muhd Zainul

ALOR SETAR: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tampil memberi penjelasan video tular membabitkan seorang ulama menunaikan solat bersama bunian sudah dipadam sejak Oktober tahun lalu.

Muhd Zainul Asri berkata, rakaman video berdurasi 3.36 minit yang ditularkan itu adalah video lama yang dipadamkan daripada rekod simpanan medianya sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya memadam semua video yang dikhuatiri mencetuskan kontroversi itu selepas perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) pada 13 Oktober 2024.

“Sejak tarikh perjumpaan itu, tidak ada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke mana-mana saluran media sosial kami. Video yang sedang diviralkan pada masa ini adalah rakaman lama yang direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan pihak JHEAIK diadakan.

“Saya menarik balik semua video terdahulu dan ingin menegaskan tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik ke media sosial miliknya semalam.

Beliau berkata, pada masa sama semua pihak dinasihat tidak terus menyebarkan atau menularkan video lama itu kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya.

“Saya dipanggil pihak JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran, malah saya amat menghargai teguran itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersikap terbuka dengan sebarang tindakan yang akan diambil JHEAIK susulan kontroversi terbaru itu kelak.

“Saya menghargai teguran dan berterima kasih khususnya kepada Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim atas bimbingan nasihat membina dan berharga.

“Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada JHEAIK dalam isu yang timbul dan dibangkitkan serta memahami semua video lama dianggap tidak sesuai dan semua sudah dipadam atas nasihat JHEAIK,” katanya.