Thai-Kemboja: Kita seronok bergaduh nak tunjuk PMX tak berjaya

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik peranannya dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur bagi menghentikan konflik Thailand-Kemboja.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menganggap tindakan tersebut sebagai hak individu masing-masing.

Bagaimanapun beliau membidas sikap ahli Parlimen pembangkang, seolah-olah mengangkat seorang bekas jeneral tentera Thailand sebagai hero semata-mata untuk membuktikan Perdana Menteri Malaysia gagal dalam rundingan itu.

“Dalam Malaysia buat perjanjian, ada yang tak setuju, ada, di Thailand pun begitu, tapi saya berunding dengan siapa, dengan Perdana Menteri dan Kerajaanlah.

“Kalau ada seorang bekas jeneral tak pernah menang pilihan raya bangkitkan, tak apa laa, hak dia, tapi yang kita nak jadikan dia sebagai hero ini apa benda, ini masalah dia.

“Maknanya kutip pandangan di sini, apa juga dasar ekonomi Madani, kemiskinan, panggillah wakil-wakil pembangkang, ada sahaja yang bantah, cuma tak laa terkenal sampai dikutip perhatian media (antarabangsa),” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam soalan tambahannya meminta penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai kritikan bekas jeneral tentera Thailand, Rangsi Kitiyanasap kini tular di seluruh dunia termasuk media antarabangsa.

Selain itu, Shahidan juga meminta penjelasan mengenai tindakan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang menolak cadangan Anwar untuk menghantar lebih ramai tentera pengaman ke Kemboja-Thailand.

Anwar juga melahirkan rasa kesal dengan pemimpin politik Malaysia yang gemar melaga-lagakan beliau dengan pemimpin negara jiran itu semata-mata mahu menunjukkan peranannya gagal dalam rundingan damai itu.

“Yang kita nak seronok bergaduh sebab nak tunjuk Perdana Menteri Malaysia tak berjaya, ini satu sikap yang sangat merugikan.

“Doa bagi gagal perjanjian itu (Thailand-Kemboja) nak tunjuk Perdana Menteri Malaysia gagal, saya nak doa bagi aman, kalau dia bergaduh, kesannya kepada kita, keduanya tanggungjawab kita,” katanya.

Selain itu, Anwar juga mendedahkan hubungan beliau dengan Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet masih baik dan saling berhubung antara satu sama lain dalam rundingan damai itu.

ARTIKEL BERKAITAN

“Malah sekarang ini saya masih Pengerusi ASEAN sampai Disember 2025, tapi kedua-duanya masih berhubung dengan kita.

“Semalam saya tugaskan Panglima Angkatan Tentera segera dapatkan laporan supaya kita dapat bantu, itu dia, ini soal sekali lagi bekas Jeneral tidak bersetuju, saya tak ada masalah,” katanya.

Kata Anwar, ketika Perdana Menteri Thailand dihubunginya, memberitahu Anutin tidak bersetuju dan membantah dengan insiden letupan periuk api, didakwa didalangi tentera Kemboja.

“Sekarang ini Panglima Angkatan Tentera kita sedang berunding balik. Perjanjiannya apa, saya hafal perjanjian dia, undur daripada perbatasan dan selesaikan masalah letupan yang berlaku oleh kerana periuk api, itu dalam proses.

“Kebetulan seorang lagi mati, letupan periuk api, tentunya menimbulkan kemarahan Thailand (kerajaan baharu) yang dia kata apakah perjanjian ini dicabul?

“Tapi Perdana Menteri (Thai) tidak pertikai tanggungjawab dan peranan kita, saya boleh tunjuk teksnya (telefon).

“Cuma dia kata kena gesa Kemboja juga mematuhi sepenuhnya (perjanjian) di mana 18 tahanan di bawah Thailand itu akan dilepaskan semuanya mengikut perjanjian damai di antara Thailand dan Kemboja,” katanya

Sementara itu, Anwar turut menegaskan Malaysia hanya berperanan sebagai pihak yang menyelaras perjanjian perdamaian Thailand-Kemboja dan segala syarat rundingan damai itu ditentukan kedua-dua negara anggota ASEAN itu.

“Kalau tanya saya, saya doakan bagi selesai sahaja. Sama ada kredibel atau tidak, tak jadi masalah, di sini pun ramai tak setuju perjanjian damai ini.

“Dia tak setuju sebab apa? Apa kepentingan dia? Sebab apa? Usulnya dari Malaysia? Pertama perjanjian damai, kerana ramai juga yang di Kemboja menganggap Thailand itu agresif.

“Ada juga dari Thailand menganggap Kemboja itu melanggar perjanjian, sebab itu kita tolong rundingkan.

“Kita selaraskan dan saya masih ingat lagi, bila kita panggil kedua-dua Perdana Menteri, saya panggil kita bertiga, saya kata saudara-saudara tentukan, saya bantu menyelaraskan dan memohon perdamaian, dia yang tentukan parameter, bukan kita letakkan syaratnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette