Sekurang-kurangnya 12 maut, 27 cedera dalam serangan pengebom berani mati

ISLAMABAD, Pakistan – Sekurang-kurangnya 12 maut manakala 27 individu cedera dalam serangan berani mati di luar bangunan mahkamah daerah di sini, kata Menteri Dalam Negeri.

Serangan yang menyebabkan kaca retak dan kenderaan terbakar menyaksikan orang ramai lari bertempiaran dalam keadaan panik.

“Satu serangan berani mati dilakukan. Setakat ini 12 orang meninggal dunia dan 27 cedera,” kata Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi.

Seorang wartawan AFP melihat tentera menutup kawasan terbabit dengan menteri itu berkata, pelaku meletupkan bahan letupan berhampiran sebuah kenderaan polis.

“Kami cuba mengenal pasti siapa dia (penyerang) dan di mana dia datang,” kata Naqvi selepas letupan yang menggegarkan kawasan yang menempatkan beberapa pejabat kerajaan.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu dengan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menuding jari ke arah ‘proksi pengganas yang dibelakangi India’ yang merupakan seteru Pakistan sejak sekian lama.

Pada Isnin lalu, ibu negara India, Delhi digegarkan dengan letupan sebuah kereta yang mengakibatkan lapan orang terbunuh.

Sharif menuding jari ke arah kumpulan Pakistani Taliban (TPP) dan puak pemisah dari wilayah Balochistan melakukan serangan yang kebanyakannya menyasarkan pasukan keselamatan. – MalaysiaGazette