Dua premis beroperasi tanpa kebenaran di serbu, diarah tutup

SHAH ALAM: Dua premis yang beroperasi tanpa kebenaran diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi operasi bersepadu di Jeram, Kuala Selangor kelmarin.

MPKS berkata, operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3.00 petang itu disertai seramai 42 anggota membabitkan pelbagai jabatan bersama agensi teknikal seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, dua premis yang dikesan itu adalah

“Sepanjang operasi, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) atas kesalahan tidak mematuhi notis serta Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.

“Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil PTPP (MDKS) 2007 berhubung kebersihan, pelepasan kumbahan dan kacau ganggu habuk serta bunyi.

“Tindakan lanjut turut membabitkan pengeluaran notis di bawah Seksyen 82(5) Akta 133 terhadap aktiviti yang menyebabkan kacau ganggu kepada persekitaran.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk tujuan siasatan berkaitan pelepasan udara,” katanya, semalam.

Pada masa sama, MPKS memaklumkan Jabatan Perancangan Pembangunan dan PDT Kuala Selangor turut mengambil tindakan susulan kategori Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) bagi memastikan proses pematuhan dapat dilaksanakan oleh pihak pemilik premis.

Selain tindakan kompaun dan notis, operasi ini turut membabitkan pemotongan dan rampasan meter air oleh Air Selangor setelah mendapat kelulusan SPAN.

Bagi bekalan elektrik, TNB Kuala Selangor membuat semakan pemilikan meter dan mengambil maklumat lengkap bagi proses pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik, mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa melakukan pemotongan serta-merta di lokasi.

“Melalui operasi ini, MPKS berjaya melaksanakan dua tindakan penutupan premis serta mengeluarkan empat kompaun membabitkan pelbagai peruntukan undang-undang tempatan.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 17 peralatan perniagaan disita, termasuk trak pengangkat, mesin pemampat, jentera pemuat beroda, alat pengangkat elektrik, mesin pemotong besi, peralatan kimpalan dan beberapa mesin industri lain yang digunakan dalam proses pengeluaran kilang,” katanya.

MPKS berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan aktiviti industri di daerah Kuala Selangor dijalankan secara teratur, mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat.