Mereka kata ia tidak bernilai, siapa peduli – Postecoglou

BODO, Norway: Ange Postecoglou berkata pertembungan final Liga Europa antara Tottenham Hotspur dan Manchester United mengecewakan banyak pihak tetapi pengendali dari Australia itu tidak peduli selepas mengemudi kejayaan pasukannya awal pagi tadi.

Tottenham mempamerkan persembahan mantap untuk mengalahkan Bodo/Glimt 2-0 di Artik bagi kemenangan 5-1 secara agregat pada separuh akhir dan kelab London utara itu kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi menyelamatkan musim bermasalah dengan trofi pertama sejak tahun 2008.

Sekalipun Tottenham di tangga ke-16 dan Manchester United ke-15 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL), pemenang di Bilbao pada 21 Mei ini akan dianugerahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Postecoglou membidas semula bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger kelmarin selepas warga Perancis itu menegaskan ia satu kesilapan pemenang Liga Europa diberi tempat ke Liga Juara-Juara.

Apabila subjek itu dibangkitkan sekali lagi selepas kemenangan awal pagi tadi di Stadium Aspmyra, pengendali berusia 59 tahun itu bersemangat.

“Ia akan mengecewakan banyak pihak bukan! Perdebatan mengenainya hangat sekarang, terkini adalah kami tidak akan dapat trofi jika kami menang, mereka hanya akan mengambil gambar pasukan kerana kami tidak layak,” katanya kepada wartawan.

“Maksud saya, siapa peduli jika kami bergelut dalam liga? Kenapa ia terlalu penting? Jika ia terlalu mudah untuk layak ke final, maka kenapa setiap orang yang berakhir dalam kelompok tiga teratas tidak berjaya melakukannya?

“Kami faham persembahan kami dalam liga tidak hebat. Kami faham kesukaran yang kami alami. Kebanyakan daripadanya kerana situasi yang membelenggu kami. Tetapi bagaimana ia mengurangkan pencapaian untuk layak ke final?

“Saya tidak peduli siapa yang bergelut dan siapa tidak. Saya fikir kedua-dua kami dan United berhak untuk berada di sana.”

Persembahan Tottenham di Eropah musim ini jauh berbeza berbanding dalam kempen EPL yang mana mereka tumpas 19 kali dalam 35 perlawanan.

Dalam Liga Europa, mereka menang sembilan daripada 14 perlawanan mereka, seri tiga dan kalah hanya dua kali. – REUTERS