Pensyarah wanita rugi hampir RM1juta terjerat skim pelaburan tak wujud janji pulangan 1,000 peratus

JASIN: Teruja mahu menggandakan wang simpanan, seorang pensyarah wanita ‘berputih mata’ apabila kerugian hampir RM1 juta selepas terjerat dalam skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan mencecah 1,000 peratus dalam masa hanya beberapa minit.

Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu terpikat dengan iklan ‘belajar trading saham‘ yang tular di Instagram pada 28 Julai lalu, sebelum menekan pautan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, berkata suspek kemudian memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera dan mengarahkannya memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan kononnya untuk pendaftaran akaun pelaburan.

“Tertarik dengan tawaran itu mangsa nekad mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan ini mampu memberi pulangan luar biasa.

“Antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan iaitu hanya dalam masa dua hingga lima minit saja.

“Malah, suspek turut meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum kononnya membolehkan keuntungan dikeluarkan.

“Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu dan kini kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Lee turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat, terutama jika pembayaran diminta ke akaun bank persendirian yang jelas mungkin satu penipuan.

Katanya, orang ramai dinasihati menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa penipuan.