KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menzahirkan rasa bangga apabila seorang anak FELDA yang pernah dibantunya, Dr Noorilham Ismail, berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).
Sim berkata, Noorilham yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan bukan sahaja membuktikan kemampuan dalam dunia akademik, malah menjadi simbol ketabahan luar biasa seorang anak FELDA yang pernah berdepan penolakan masyarakat kerana kecacatan dan hidup serba kekurangan.
“Saya sangat-sangat bangga. Dua tahun lalu hidupnya sangat susah, hanya menerima RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara dirinya dan isteri.
“Meskipun Ilham OKU penglihatan, cita-citanya ialah untuk buat PhD di Universiti Malaya. Demi menyokong cita-cita itu, Ifa (isterinya) terpaksa bekerja sepenuh masa sebagai ‘pembantu’ suaminya, memandu, membacakan bahan kajian dan menjaga makan minumnya.
“Selepas mengetahui kisah Ilham, saya bantu biaya kos peringkat akhir kajian PhD di Amerika Syarikat. Bulan-bulan saya tambah elaun RM1,000, setakat upaya saya.
“Akhirnya selepas dua tahun, saya cukup bangga hari ini. Ilham akhirnya bergelar Doktor,” katanya dalam Facebook hari ini.
Beliau berkata, walaupun Ilham pernah ditolak untuk pekerjaan sebelum ini kerana kecacatan dialami, beliau kini berjaya menjadi pensyarah di UM.
“Bukan setakat gaji sudah baik, malah dia berjanji akan menjadi guru yang baik, mendidik anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Sim berkata, ketika bertemu Ilham pada hari graduasi, beliau turut membuat kejutan dengan menghadiahkan sehelai jersi kelab bola sepak Manchester United.
“Dia penyokong tegar Man Utd. Setiap kali tulis di Facebook, hujung ayat wajib ada: ‘Glory glory.’
“Mungkin sebab itu hatinya terlatih untuk menghadap naik turun hidup. Macam dia sayang kelab yang tak selalu menang tu, macam tu jugalah dia hadap hidup.
“Sakit hati ada, kecewa ada, gembira pun ada. Tapi dia tak lari, tak berhenti, tak berputus asa. Dua tahun lalu saya tulis: ‘Ilham, kau benar-benar ilhamku.’
“Hari ini di Universiti Malaya, saya nak tambah sikit: Glory, Glory, Dr Ilham. Jalan teruih,” katanya.

