Misteri penemuan rangka terjawab, DNA sahkan milik remaja hilang bulan lalu

BATU PAHAT – Misteri rangka manusia yang ditemukan di celah pokok dalam kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, Jalan Yong Peng dekat sini pada 25 Jun lalu terjawab apabila disahkan milik remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ini berdasarkan siasatan dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan.

“Spesimen darah diambil daripada ibu bapa mendapati kebarangkalian 99.9 peratus sepadan dengan rangka ditemui.

“Melalui profil DNA yang diperoleh bagi tujuan perbandingan, ia sepadan dengan sampel diambil daripada ibu bapa kandung remaja berkenaan.

“Polis mengesahkan ujian DNA ke atas rangka manusia ditemui di celah pokok dalam kebun durian adalah Hafiz Fauzan Abdul Halid, 17, pelajar yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya satu dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, bapa mangsa, Abd Halid Sugiman, 44, berkata, keluarganya bersyukur dan lega selepas menerima keputusan DNA yang mengesahkan rangka manusia ditemui di kebun durian itu, sah merupakan anaknya, Hafiz Fauzan.

Katanya, keputusan tersebut dimaklumkan kepadanya pada pukul 4.43 petang semalam selepas dihubungi polis bagi memaklumkan hasil ujian DNA yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Alhamdulillah semua sudah selesai. Apa yang ditunggu-tunggu sudah berakhir,” katanya ringkase dan memaklumkan proses tuntutan jenazah akan dibuat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini pagi ini untuk dikebumikan.

Jenazah akan disembahyangkan di Surau Almuhajirin pukul 10 pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pecah di sini.

Hafiz Fauzan yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak bersama rakannya pada malam 25 Mei di Parit Ju, Tongkang Pechah namun didapati tidak pulang ke rumah keesokan hari.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga untuk mencari Hafiz Fauzan yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Pada 25 Jun lalu, rangka manusia ditemui bersama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti yang dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Turut ditemui jaket dan juga topi keledar dipercayai digunakan mangsa. – MalaysiaGazette

Source :