ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata, dalam kejadian jam 5.09 petang itu, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari kawasan perumahan ke seberang jalan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika melintas, mangsa telah dilanggar sebuah Toyota Avanza dipandu lelaki tempatan berusia 64 tahun yang datang dari arah Paya Mengkuang ke Masjid Tanah.
“Perlanggaran mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk mendapatkan rawatan.
“Kanak-kanak berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya, keadaan jalan di lokasi ketika kejadian adalah satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering serta cuaca yang baik.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kesan brek sepanjang kira-kira lima meter, manakala kenderaan terlibat mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Saringan ujian air kencing terhadap pemandu yang bekerja sebagai penyelia juga mendapati negatif bahan terlarang,” katanya.
Ahmad berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli melalui talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti faktor sebenar kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Tabika KEMAS Masjid Tanah melalui Facebook (FB) rasminya turut berkongsi berita sedih itu dengan memuat naik poster muridnya yang meninggal dunia akibat terlibat dalam nahas itu.
“Salam takziah, telah kembali ke rahmatullah Allahyarham adik Muhd Iman Nazhan Bin Jasri, kanak-kanak dari Tabika KEMAS Pengkalan Balak B akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya.
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga daripada kami seluruh warga KEMAS Parlimen Masjid Tanah,” tulisnya. – MalaysiaGazette

