BATU KAWAN: Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali memuji barisan pertahanan ‘bidan terjun’ yang mempamerkan aksi meyakinkan meskipun turun tanpa tiga tonggak utamanya ketika aksi menentang Imigresen FC di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini, semalam.
Jurulatih berusia 49 tahun itu berkata, beliau terpaksa merombak benteng pasukannya dengan meletakkan Engku Nur Shakir di posisi bek kanan buat pertama kali dan gembira dengan impak ditunjukkan penyerang itu.
Keputusan itu diambil susulan ketiadaan pemain pertahanan asal, Ubaidullah Shamsul Fazili yang menggalas cabaran Sukan SEA, selain Azam Azmi Murad berdepan kecederaan manakala Safwan Mazlan digantung perlawanan.
“Sebelum itu tahniah Ubai dapat pingat gangsa Sukan SEA, jadi saya menggantikan pemain seperti Engku Shakir yang tampil begitu meyakinkan walaupun pertama kali bermain di bek kanan dan Alif Zakaria pula menjalankan tugas dengan baik di bek kiri.
“Bagi saya impak yang cukup positiflah untuk seorang pertahanan yang dapat menggantikan tiga pemain sekali gus dalam satu perlawanan,” kata Badrul pada sidang media selepas perlawanan itu.
Jurulatih berusia 49 tahun itu turut memuji kualiti serta impak diberikan gandingan pemain lincah, Akhyar Rashid bersama Careca dalam menyumbang kejayaan Skuad Penyu namun menegaskan kemenangan diraih adalah hasil kerja keras berpasukan.
Beliau juga menyifatkan kejayaan mengutip tiga mata penuh itu amat bermakna dan dinantikan pasukan selepas berdepan keputusan dua kali seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
“Syukur, tiga mata amat berharga buat kami. Bukan mudah melawan Imigresen yang memberi tentangan sengit sejak awal hingga hujung perlawanan. Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi, tahniah kepada semua.
“Saya harap, untuk perlawanan seterusnya menentang Sabah FC di laman sendiri nanti, kita akan terus perbaiki kelemahan yang ada dan pemain terus konsisten dan fokus mendapatkan tiga mata,” katanya.

