PM sertai 2,000 jemaah solat jenazah ghaib untuk Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lebih 2,000 jemaah, hari ini menunaikan solat jenazah ghaib untuk Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel di Tehran, Iran, kelmarin.

Solat jenazah ghaib itu dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Negara di sini, yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Solat turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Perdana Menteri dan jemaah yang hadir turut mendengar khutbah khas sempena Hari Pahlawan bertajuk “Perjuangan Demi Nusa Tercinta”.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa makan tengah hari di Pusat Penjaja Lucky Garden, Bangsar dan beramah mesra dengan penjaja serta pengunjung.

Kelmarin, media melaporkan kematian Ismail di Tehran, yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan Israel.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu serta seorang pengawal peribadinya.