KUALA LANGAT – Rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memulakan operasi penternakan babi di sekitar Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat, di sini, bermula tahun ini menimbulkan kembali keresahan dan kegelisahan rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tumbuk Sempadan, Kampung Tumbuk mendapati, pencemaran bau dan air yang menghantui 1,592 penduduknya lebih 30 tahun lalu boleh berulang jika operasi penternakan babi itu dibenarkan kembali.
Bagaimanapun hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan operasi penternakan babi di kampung tersebut dimurkai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurut mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Tumbuk Darat, Tarmudi Tushiran, beliau menjunjung titah Seri Paduka sambil menyifatkan campur tangan pihak istana itu sebagai sesuatu yang melegakan penduduk.
“Kalau boleh dipindahkanlah ke tempat lain. Saya setuju sangat dengan idea sokongan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Saya menyokong penuhlah 100 peratus supaya dipindahkan.
“Sultan Selangor baru-baru ini telah merasmikan Masjid Tumbuk Darat, ini nak buat kandang babi dekat Tumbuk Darat? Apa barang ini? Kalau boleh dipindahkan ke tempat lainlah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di sini, hari ini.
Semalam, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di sekitar Kampung Tumbuk,Tanjong Sepat, di sini dijadualkan bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda menegaskan, projek penternakan babi berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di Selangor yang majoritinya dalam kalangan orang Melayu Islam.

Lebih dikesali katanya apabila kandang babi sedia ada yang diusahakan di situ dibina berdekatan dengan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tumbuk Darat.
“Bukan kira perkauman atau kawasan Melayu ke mana, tapi di sini majoriti orang Melayu. Jadi memang dekat sangat. Jadi yang saya lebih dukacita bila kandang babi ini dekat sangat dengan kubur orang Islam.
“Ini yang saya memang tak setuju, sebab bila dekat kubur, esok saya takut bila saya mati atau sesiapa mati, yang doakan, yang mengaminkan (talkin) itu babi tu. Rasa saya tak bolehlah macam itu,” katanya.
Tarmudi juga melahirkan rasa kesal dengan penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tumbuk Darat, Nasri Mohd Jais yang berkeras mahu aktiviti itu dibenarkan di kawasan itu sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.
“Memang saya tanya dan semua. Saya menghubungi ketua kampung yang baharu dekat sini. Dia pun kata dia tak setuju. Dia kata cuma nak buat tiga tahun.
“Apa pula nak buat tiga tahun? Tak payah terus, halang terus, tak payah (benarkan beroperasi) dan tukar tempat lain.
“Kalau saya, jangan bagi kelonggaran tiga tahun lagi, yang ada sekarang pun sepatutnya kena buang,” katanya.

Tarmudi menggesa Kerajaan Negeri Selangor mencontohi pusat penternakan babi di Jerman yang bukan sahaja moden dan sistematik, malah jauh lebih daripada penempatan manusia.
“Sebagai mantan ketua kampung, saya pernah melawat atau melihat sendiri kaedah penternakan babi di Jerman, memang canggih, moden dan juga teratur. Perjalanan dari hotel ke kandang babi lebih empat jam, jauh dari penempatan orang.
“Tetapi kenapa Kerajaan Negeri Selangor nak dibuat di Kampung Tumbuk Darat ini, memang nak diusahakan sangat, saya rasa saya memang tidak relevan langsung, memang saya tak setuju.
“Siapa pun pemimpin atau pengusaha ternakan babi yang nak mengambil keuntungan, saya tak mahu pertikaikan, tetapi bagi saya, langsung tak relevan, pindahkanlah ke tempat lain, jauh dari penempatan orang,” tegasnya.

Lebih dikesali katanya isu tersebut yang diperjuangkan beliau sejak 2016 tidak mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri Selangor dan kemudahan ternakan haiwan itu menjadi keutamaan berbanding fasiliti pendidikan.
“Dulu saya pernah mencadangkan kawasan yang sebelah ladang sawit untuk dijadikan sekolah berasrama penuh, bagaimanapun cadangan itu tidak diangkat, sebaliknya kandang babi pula wujud di situ.
“Malangnya tidak dapat respon daripada kerajaan. Kita mengutarakan soal itu kerajaan ataupun YB yang untuk menguruskan hal ini, cuma kita buat cadangan.
“Tapi tak lulus, rupanya yang nak diluluskan ialah kandang babi,” katanya.

Selain itu, kata Tarmudi, cadangan penternakan babi di Kampung Tumbuk yang berdekatan dengan penempatan penduduk didakwa seolah-olah cubaan untuk menghalau orang Melayu secara halus.
“Ini macam nak menghalau kepada orang Melayu. Jangan nak main-main macam itu, sebab ini kandang babi, memanglah makanan orang Cina.
“(Pencemaran) Bau saya sudah alami sejak dulu sampai sekarang. Takkan sekarang nak dibuat dekat sini. Baunya tak boleh tahan.
“Kemudian virus babi dekat sini bahaya kepada alam sekitar dan penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

