KUALA LUMPUR – Pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas tercampak ke bawah Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Chan Sow Lin semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nur Zahela Mohamad Zainal berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) menerusi kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pukul 8.55 malam.
Menurutnya, treler yang dinaiki pemandu dan kelindan itu terbabas sebelum keduanya tercampak.
“Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan treler telah melanggar batu penghadang konkrit yang mengakibatkan dua lelaki tempatan tercampak ke bawah lebuh raya,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik ambulans Kementerian Kesihatan.
“Kerja-kerja mengangkat mangsa dilakukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya lagi, turut cedera akibat kejadian berkenaan seorang lelaki warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran.
“Terdapat seorang lelaki warga Pakistan cedera di kaki dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” tambahnya.- MalaysiaGazette

