BAGHDAD: Pakatan blok politik Syiah yang menguasai majoriti kerusi di Parlimen Iraq menamakan bekas Perdana Menteri, Nouri al-Maliki, sebagai calon untuk jawatan berkenaan, menurut kenyataannya semalam.
Langkah itu membuka laluan kepada rundingan bagi membentuk kerajaan baharu yang perlu menyeimbangkan pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Kerajaan baharu itu juga perlu menguruskan puluhan kumpulan bersenjata yang lebih setia kepada Iran dan pemimpin mereka sendiri berbanding kepada kerajaan, sambil menghadapi peningkatan tekanan dari Washington untuk membubarkan militia berkenaan.
Mengikut Perlembagaan Iraq, Parlimen sudah memilih seorang Speaker dan dua timbalan pada 29 Disember lalu semasa sesi pembukaan, dan seterusnya mesti memilih presiden baru dalam tempoh 30 hari.
Presiden kemudian akan menugaskan blok Parlimen terbesar untuk membentuk kerajaan.
Pakatan politik Syiah, dikenali sebagai Coordination Framework, dalam satu kenyataan memaklumkan Maliki dipilih berdasarkan pengalaman politik dan pentadbiran beliau serta peranannya dalam menguruskan negara.
Maliki, tokoh kanan Parti Islam Syiah Dawa, pernah menjadi perdana menteri Iraq selama dua penggal antara 2006 hingga 2014.
Tempoh pemerintahannya dicemari oleh keganasan berasaskan suku kaum, persaingan kuasa dengan puak Sunni dan Kurdi, serta ketegangan yang meningkat dengan AS.
Beliau meletak jawatan selepas kumpulan IS menguasai sebahagian besar negara pada 2014, tetapi tetap menjadi pemain politik berpengaruh.
Beliau mengetuai gabungan State of Law dan mengekalkan hubungan rapat dengan kumpulan serpihan yang disokong Iran.
Walaupun berdepan tuduhan lama bahawa beliau memburukkan ketegangan suku kaum dan gagal menghentikan penguasaan IS ke atas kawasan yang luas sepuluh tahun lalu, Maliki masih kekal sebagai kuasa penting dalam politik Iraq. – REUTERS

