KUALA LUMPUR – Dua buruh binaan warga Bangladesh maut ketika melakukan kerja pemasangan konkrit longkang di tapak pembinaan Elmina Ridge Denai Alam U15, Shah Alam Selangor, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superitendan Ramsay Anak Embol berkata, kedua-dua mangsa berumur 25 dan 30 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Hasil siasatan mendapati, seramai tiga pekerja sedang melakukan kerja pemasangan konkrit longkang di kawasan terbabit.
“Kemudian, tiba-tiba tanah di bahagian tepi longkang telah runtuh menyebabkan dinding konkrit longkang patah dan tertimpa ke atas salah seorang pekerja tersebut.
“Manakala seorang lagi pekerja tertimbus dengan runtuhan tanah sementara satu lagi pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.29 pagi.
Susulan itu, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong digegaskan ke lokasi terbabit.
“Salah seorang mangsa telah tertimbus di dalam runtuhan tanah dan konkrit ‘culvert U box’ semasa melakukan kerja pembinaan longkang.
“Bomba berjaya membawa keluar mangsa pertama pada jam 11.12 pagi, manakala mangsa kedua pada pukul 11.35 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut pihak polis. – MalaysiaGazette