GEORGE TOWN – Seorang wanita ditemui maut dalam kereta miliknya yang dipenuhi pelbagai barangan sehingga menutup semua ruang dalam kenderaan tersebut di parkir sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong di sini malam tadi.
Kematian mangsa terbongkar selepas polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berkunci dari dalam sebelum meminta bantuan bomba untuk membuka pintu kereta berkenaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Khairul Annuar Mohd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan bantuan pukul 7.48 malam.
“Anggota berdepan kesukaran untuk membuka pintu kereta itu berikutan keadaan bahagian dalam kenderaan dipenuhi barangan.
“Kita berjaya membuka pintu selepas memecahkan cermin tingkap bahagian penumpang belakang dan menemui mangsa di tempat duduk pemandu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, pemeriksaan polis menemui pelbagai barangan di dalam kenderaan berkenaan termasuk pakaian, bantal, kotak, beg, makanan serta sejumlah dadah.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, ibu mangsa yang tiba di lokasi kejadian memaklumkan anaknya, Khor Bin Jun, 38, mempunyai masalah kesihatan mental dan mendapatkan rawatan di klinik hampir 10 tahun.
Sumber : MalaysiaGazette

