Tugas besar Zulhelmi bersama Nusantara

LANGKAWI: Pakar pecut Nusantara Pro Cycling Team, Zulhelmi Zainal menggalas tugas besar untuk membantu pasukan benua dari Indonesia itu memburu gelaran Pasukan Terbaik Asia pada penampilan di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Zulhelmi yang akan membuat penampilan sulung bersama pasukan itu berkata, kombinasi antara pelumba kini semakin baik menjelang perlumbaan Peringkat 1 di Pulau Langkawi Ahad ini.

“Kami akan cuba yang terbaik kerana itu peranan utama yang diinginkan pasukan, untuk berada dalam kedudukan pasukan terbaik Asia dan juga pelumba terbaik Asia,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Zulhelmi yang mewakili skuad kebangsaan pada edisi tahun lalu meraih pencapaian terbaiknya pada perlumbaan Peringkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya.

Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan peringkat berkenaan di tempat ke-11 keseluruhan sekali gus muncul selaku pelumba terbaik Asia.

LTdL 2024 dijadual membuka tirainya Ahad ini di Pulau Langkawi yang membabitkan laluan sejauh 96.5 kilometer sebelum saingan meneruskan perjalanan Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, keesokan harinya.

Mengulas misi peribadinya tahun ini, Zulhelmi yang membuat penampilan kedua di perlumbaan berprestij Asia itu berkata, dia mahu memperbaiki kedudukannya berbanding musim lalu.

“Untuk Peringkat 1 dan 2 ini, saya ingin memperbaiki kedudukan tahun lalu. Kalau boleh di kedudukan dalam kelompok lima atau 10 terbaik. Itu harapan yang saya ingin cuba lakukan,” katanya yang turut mengharapkan untuk menjejak podium kali ini.