ALOR SETAR: Cuaca panas berpanjangan yang melanda utara Semenanjung menjadi ‘bonus’ kepada pengusaha mangga apabila hasil mempelam Harumanis D’Aman dilaporkan lebih manis dan berkualiti, selain jumlah buah meningkat dua kali ganda.
Pengarah syarikat USIMA Agriculture yang juga pengurus ladang harumanis, Ahmad Ikhram Mohd Yusof, berkata suhu tinggi dan keadaan cuaca kering memainkan peranan penting dalam proses pematangan buah, sekali gus meningkatkan kandungan gula semula jadi dalam harumanis.
“Bila cuaca panas dan kurang hujan, buah akan jadi lebih manis, isinya lebih padat serta aromanya lebih kuat. Itu yang membezakan Harumanis D’Aman dengan musim biasa,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Tok Keling, di Alor Mengkudu, di sini hari ini.
Beliau berkata, faktor cuaca tahun ini dilihat amat sesuai untuk penghasilan buah premium, malah kualiti yang dihasilkan juga lebih konsisten berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, tahun lalu, sebanyak 17,000 biji buah mempelam harumanis terhasil, manakala tahun ini pula mencecah 30,000 biji dan pertambahan itu melebihi 50 peratus dari tahun lalu.
“Walaupun panas memberi cabaran dari segi penjagaan pokok, namun hasilnya sangat berbaloi kerana buah yang dituai berada pada tahap terbaik.
“Teknik penjagaan seperti pembalutan buah dan kawalan air turut membantu memastikan setiap biji Harumanis D’Aman mencapai standard tinggi sebelum dipasarkan.
“Cuaca panas ini juga menyebabkan serangan kulat juga berkurangan hingga mengakibatkan buah ini sangat cantik dan tidak perlu diracun terlalu kerap.
“Seperti tahun sebelum ini, kita menjual buah harumanis dengan harga mengikut gred dan kualiti yang berbeza tetapi kali ini kami menjualnya dengan satu gred dan kualiti yang sama iaitu RM40 sekilo, ” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani, berkata faktor cuaca panas menjadi antara penyumbang utama kepada tahap kemanisan harum manis yang dihasilkan, sekali gus menjadikan negeri itu antara kawasan paling sesuai di Semenanjung untuk penanaman buah berkenaan.
Katanya, kemanisan harum manis Kedah sememangnya diiktiraf dan keadaan cuaca panas memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti buah berada pada tahap terbaik
“Sehingga kini, dianggarkan terdapat kira-kira 150,000 pokok harum manis ditanam di Kedah dengan kepadatan sekitar 150 pokok bagi setiap hektar.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah ini disasarkan meningkat kepada 500,000 pokok bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai tanaman serta pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan menerusi Festival Mempelam Harum Manis yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 30 April ini, ” katanya.

