ALOR GAJAH: Kes kanak-kanak terdedah kepada dadah dan bahan terlarang disifatkan sebagai amat membimbangkan dan tidak sepatutnya berlaku sekiranya ibu bapa serta penjaga memberi perhatian serius terhadap aspek pengawasan dan keselamatan.
EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin, ketika merujuk kes budak perempuan berusia tiga tahun disahkan positif THC atau ganja di negeri ini minggu lalu, mengaku terkilan dan sedih dengan kejadian berkenaan.
Katanya, kecuaian seperti meletakkan bahan terlarang di tempat terbuka atau mudah dicapai oleh kanak-kanak tidak seharusnya berlaku kerana berisiko meragut nyawa.
“Insiden itu wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan kanak-kanak. Pihak kami sentiasa memberikan advokasi dalam pelbagai aspek dan kerjasama semua pihak begitu penting.
“Bukan sahaja agensi kerajaan, malah ibu bapa dan komuniti setempat juga perlu cakna, bersama bertindak mencegah perkara ini,” katanya selepas menyempurnakan Program Ziarah Kasih Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, di sini hari ini.
Kalsom yang juga ADUN Pengkalan Batu, berkata agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak ketinggalan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, namun kelalaian dalam aspek pengawasan perlu dijadikan iktibar dan diambil tindakan serius dari segi perundangan.
Terdahulu, pada 14 April kira-kira jam 5 petang, seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima kanak-kanak perempuan usia tiga tahun dalam keadaan separuh sedar sebelum ujian saringan air kencing mendapati budak berkenaan positif THC.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pempengaruh dan anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan direman tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

