MADRID: La Liga dan kelab di bawahnya akan bergandingan tangan mengumpul dana bersama Palang Merah bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 158 orang di Sepanyol menerusi hebahan ketika perlawanan hujung minggu ini selain melalui akaun media sosial mereka.
“Bola sepak profesional Sepanyol menzahirkan ucapan takziah serta turut bersolidariti dengan keluarga mangsa,” kata La Liga dalam satu kenyataan.
Real Madrid sebelum ini turut mengumumkan kerjasama dengan Palang Merah dan menyalurkan bantuan satu juta euro (RM4.76 juta).
“Yayasan Real Madrid dan Palang Merah hari ini melancarkan kutipan dana bagi menyalurkan sokongan kepada yang terkesan dan kelab memutuskan untuk menyokong kempen ini dengan menyumbangkan 1 juta euro dalam usaha membantu keluarga yang berada di situasi kritikal dan yang memerlukan bantuan,” kata juara Sepanyol itu dalam satu kenyataan.
Enam perlawanan Copa del Rey yang ditangguhkan diubah kepada minggu depan dengan hanya aksi Real Sociedad menentang Jove Espanyol di Alicante menjadi satu-satunya pertembungan yang masih tidak ditetapkan tarikhnya.
La Liga meminta 10 kelab yang terkesan dalam divisyen kedua untuk menghantar cadangan tarikh baharu perlawanan sebelum Selasa ini.
Aksi La Liga antara Valencia dan Real Madrid termasuk pertembungan Villarreal dan Rayo Vallecano berada dalam senarai perlawanan yang terpaksa ditangguhkan, dengan Valencia menjadikan Stadium Mestalla sebagai pusat pengumpulan bantuan makanan dan barangan keperluan. – REUTERS