Serik sepuluh kali keluar masuk tiga penjara

BENTONG: “Cukuplah sepuluh kali saya keluar masuk penjara, kini saya insaf dan berjanji tidak akan ulangi kesilapan yang pernah dilakukan,” kata Hairul, 43, (bukan nama sebenar).

Menurut bekas juruteknik elektrik itu, dia dihukum penjara atas kesalahan positif dadah dan sebelum ini terbabit dengan pelbagai kesalahan hingga menyebabkan dia sepuluh kali keluar masuk penjara.

“Saya melakukan kesalahan masing-masing dua kali memiliki barang curi, menagih dadah dan menceroboh bangunan dengan niat mencuri. Empat kes membabitkan tindakan mencederakan individu.

“Masa saya banyak dihabiskan keluar masuk penjara, bermula di Penjara Penor (sekali) diikuti Penjara Bentong (dua kali) dan Penjara Sungai Udang, Melaka (tujuh kali),” kata bapa tiga anak itu.

Beliau ditemui pada program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani ‘Kepulangan Yang Dinanti’ sempena Deepavali yang dirasmikan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain di Dewan Perdana Kompleks Penjara Bentong, di sini kelmarin.

Turut sama hadir Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara, Suhaizak Abd Wahab.

Pada program itu seramai 17 banduan Penjara Bentong dan Penjara Penor terpilih, mereka terdiri daripada tujuh banduan di Penjara Penor dan sepuluh banduan di Penjara Bentong yang terbabit dengan kesalahan dadah dan jenayah.

Hairul berkata, peluang dibebaskan awal akan dijadikan semangat untuk dia membina kehidupan baharu selepas menjalani hukuman penjara selama setahun tiga bulan di Penjara Penor, Kuantan.

“Saya berjanji pada diri sendiri akan meninggalkan dadah yang menjadi punca utama dia sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan duit. Aktiviti mencuri yang dilakukan hanya kerana bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah,” katanya yang berasal dari Jerantut.

Bagi Seva, 47, (bukan nama sebenar) peluang dibebaskan awal dapat memberi peluang kepadanya untuk menyambut Deepavali bersama keluarga di Bahau, Negeri Sembilan.

Katanya, dia dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan selepas terbabit dengan kes memukul rakan sekerja awal tahun ini.

Sebelum ini dia telah empat kali keluar masuk penjara selepas terbabit dengan kes positif dadah dan membunuh tanpa niat pada 2016.

“Saya kini menyesal dengan apa yang berlaku, peluang dibebaskan lebih awal akan digunakan untuk kembali kepada keluarga dan menyambut Deepavali bersama.

“Saya bercadang untuk meneruskan kerjaya sebagai pemandu lori selepas ni bagi menyara keluarga, sejarah hitam sebelum ini akan dibuang jauh-jauh,” katanya yang ingin membina kehidupan lebih bermakna selepas ini.

Sementara itu, Abu Hasan berkata, pihaknya berharap keluarga dan masyarakat dapat menerima seadanya bekas banduan dalam memastikan mereka tidak kembali melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Terdapat keluarga seolah-olah tidak memberi sokongan pada bekas banduan, mereka membuang hingga tidak membenar individu terbabit pulang ke rumah.

“Saya berharap keluarga dapat bersatu semula membentuk keluarga bahagia, bagi sepenuh kepercayaan kepada golongan terbabit yang masih mempunyai peluang membina masa depan lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, tahun lalu seramai 165 banduan dibebaskan menerusi program PBSL, dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini seramai 127 banduan dibebaskan pada beberapa perayaan utama seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Kemerdekaan dan Deepavali.