Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepada keluarga Paramesvaree. – Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus membantu keluarga Paramesvaree dari Klang, Selangor yang berdepan kesusahan hidup selain diuji masalah kesihatan.
Jaminan itu disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi wanita itu, yang terlantar kerana komplikasi perubatan sehingga kakinya terpaksa dipotong manakala suaminya pula menghidap penyakit jantung.
“Justeru, beberapa bantuan telah disalurkan dan akan ditambah bagi meringankan beban dihadapi memandangkan keluarga ini tinggal di bilik kecil, tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan selain mempunyai seorang anak yang masih bersekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar juga berharap keluarga itu tabah menghadapi ujian dan agar bantuan yang disalurkan membawa sinar cahaya serta kegembiraan kepada mereka dalam menyambut Deepavali.
Beliau berkata perayaan Deepavali, yang disambut penganut agama Hindu semalam, tidak lengkap jika tidak diraikan dengan membantu mereka yang memerlukan dan yang ditimpa kesusahan.