Projek Buku PENA-Malaysia MADANI dapat sambutan hangat, 300 manuskrip diterima

Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad ketika mengendalikan sesi Perolehan Manuskrip Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI di salah satu lokasi baru-baru ini. – Foto PENA

KUALA LUMPUR: Lebih 300 manuskrip buku daripada pelbagai bidang genre diterima Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani bagi tujuan penilaian dan pemilihan untuk diterbitkan, sejak diumumkan pelaksanaannya pada 31 Julai lalu.

Pengarah projek, Mohd Khair Ngadiron berkata, daripada jumlah itu, pihaknya hanya akan memilih 100 manuskrip untuk diterbitkan dan setakat ini, 91 manuskrip sudah disunting dan dalam proses prapenerbitan iaitu susun atur huruf, semakan pruf dan reka bentuk kulit.

Katanya, masih berbaki dua minggu sebelum tarikh tutup penghantaran manuskrip dengan hanya sebanyak 23 manuskrip belum dibuat pemilihan lagi tetapi beberapa penulis mapan telah menyatakan hasrat mahu menghantar manuskrip sebelum tempoh akhir penghantaran.

“Tarikh tutup penghantaran manuskrip adalah pada 15 November 2024.

“Dari segi aktiviti, kami telah bergerak mencari manuskrip terbaik di enam lokasi melalui Sesi Perolehan Manuskrip Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI di seluruh negara, iaitu di Miri (Sarawak), Rumah PENA (Kuala Lumpur), Seberang Jaya (Pulau Pinang), Muar (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kota Bharu (Kelantan).

“Melihat situasi ini dan sambutannya, kami meyakini sasaran 100 buku dapat diterbitkan pada tempoh yang ditetapkan, iaitu tahun depan dapat dicapai,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) berkata, terdapat juga manuskrip yang ditolak kerana beberapa faktor.

Antaranya, ujar beliau, ia tidak menepati syarat penghantaran, isi kandungan tidak bersesuaian dengan konsep penerbitan, tidak mencapai kualiti yang ditetapkan atau mengandungi isi kandungan yang tidak bersesuaian dengan pembacaan umum.

Ditanya mengenai jenis atau genre buku yang paling banyak dipilih, beliau berkata, daripada keseluruhan 34 peratus manuksrip yang diterima, bidang “Kumpulan Puisi” paling banyak, iaitu sebanyak 30 daripada keseluruhan 79 manuskrip yang dihantar.

“Lain-lain genre yang diterima ialah buku kanak-kanak dan novel, genre biografi, autobiografi dan memoir selain buku bergambar dan travelog cerpen, novel, drama pentas, selain naskhah umum sastera seperti esei dan kajian,” tambah Mohd Khair.

Namun yang paling penting katanya, karya yang terpilih bukan hanya dibukukan, ia juga akan dipasarkan dengan baik dan tidak akan berdepan dengan masalah royalti selain turut berpeluang untuk diterjemahkan ke bahasa asing.

“PENA menyasarkan penerbitan buku sebanyak 100 judul. Setiap genre ada kuotanya namun ia agak fleksibel bergantung kepada kualiti genre buku yang diterbitkan.

“Buku yang terpilih akan diterbitkan secara berperingkat dengan judul ke-100 dijangka diterbitkan pada akhir Februari 2025.

“PENA juga mencetak sebanyak 1,000 naskhah. Daripada jumlah itu, 800 naskhah akan diedarkan ke sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan perpustakaan di bawah Perpustakaan Negara Malaysia.

“Malah, setiap buku yang diterbitkan melalui projek ini berpotensi untuk didigitalkan dan diterjemahkan ke bahasa asing,” katanya.

Dalam hal ini, ujar Mohd Khair, pemasaran akan terus dilakukan berdasarkan buku yang diterbitkan membabitkan aktiviti bersama penulis, resensi, pelancaran dan wawancara.

“Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 nanti, PENA merancang terus melaksanakan pelan pemasaran berserta promosi khusus buku-buku yang diterbitkan dalam projek penerbitan ini.

“Perolehan jualan buku di reruai dan dalam talian amat bergantung kepada strategi pemasaran dan promosi yang betul semasa pesta buku nanti,” katanya.

Mohd Khair Ngadiron

Mohd Khair Ngadiron

Mohd Khair turut mengakui, PENA berharap projek itu bukan sekadar “one-off” .

Malah berdasarkan sambutan baik yang diterima ini, ia jelas menunjukkan terdapat banyak penulis buku sastera yang memerlukan platform bagi menerbitkan karya-karya mereka.

Tambah beliau, melihat kepada trend penghantaran manuskrip, PENA merasakan penulis di Malaysia mencari platform penerbitan sastera yang berkualiti.

“Penerbit atau rumah penerbit sebegitu tidak banyak di Malaysia kerana faktor permintaan yang dianggap kurang. Namun, PENA berpandangan permintaan buku sastera tinggi tidak akan wujud sekiranya penawaran produk tersebut tidak disediakan secara massa di pasaran, ” katanya.

Justeru, PENA berharap projek penerbitan ini dapat diteruskan demi memandaikan akal budi bangsa melalui pembacaan karya sastera yang berkualiti.

Source :