PARIS: Kematian seorang daripada tiga individu di atas kapal MV Hondius yang sedang dalam pelayaran dari Ushuaia, Argentina, ke Cape Verde akibat jangkitan Hantavirus menimbulkan persoalan sama ada virus yang lazimnya disebarkan melalui haiwan seperti tikus yang boleh berjangkit antara manusia.
Ketua Pusat Rujukan Nasional Hantavirus Perancis, Virginie Sauvage dalam satu temu bual dengan AFP berkata, pengenalpastian jujukan virus itu amat penting untuk memahami apa yang berlaku di atas kapal berkenaan.
Setakat ini, satu kes virus yang berpotensi membawa maut itu disahkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan risiko kepada orang awam masih rendah.
Sauvage berkata, virus itu ditemui di seluruh dunia dan jangkitan boleh berlaku sepanjang tahun. Contohnya, China, Russia dan Korea Selatan melaporkan beberapa ribu kes setiap tahun.
Di benua Amerika, Finland dan Perancis pula terdapat beberapa ratus kes setiap tahun.
“Hanya jujukan tertentu Hantavirus yang ditemui dalam haiwan seperti tikus yang boleh menjangkiti manusia,” katanya.
Sejauh mana bahaya virus ini?
Hantavirus terbahagi kepada dua kumpulan: virus ‘Old World’ (Eropah, Asia, Afrika) dan ‘New World’ (Amerika Utara, Tengah dan Selatan).
Bagi virus Old World, kadar kematian boleh mencecah sehingga 14 peratus. Namun di negara maju seperti Perancis, kes maut amat jarang berlaku dan biasanya membabitkan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Sesetengah kes tidak menunjukkan gejala atau hanya simptom ringan seperti sakit badan, sakit perut dan batuk ringan. Namun kes yang jarang berlaku boleh menyebabkan masalah buah pinggang yang membawa kepada kegagalan buah pinggang akut tetapi boleh dipulihkan.
Sebaliknya, virus New World boleh mempunyai kadar kematian melebihi 40 peratus. Jangkitan ini boleh merebak dengan cepat ke paru-paru, menyebabkan kesukaran bernafas dan kadangkala masalah jantung.
Adakah ia berjangkit?
Masih belum pasti sama ada ia wabak virus Andes. Jujukan itu adalah satu-satunya hantavirus yang diketahui boleh merebak antara manusia, namun ia hanya berlaku melalui hubungan rapat dan berpanjangan seperti dalam kalangan ahli keluarga.
Secara umum, manusia dijangkiti melalui penyedutan aerosol yang tercemar oleh air liur, najis atau air kencing haiwan atau melalui sentuhan langsung dengan najis, serta gigitan atau cakaran.
Bagi kes di kapal persiaran itu, terdapat dua kemungkinan iaitu jangkitan antara manusia atau jangkitan terpencil sebelum individu menaiki kapal, contohnya ketika melakukan perjalanan bersama.
Apa yang boleh didedahkan oleh analisis genetik?
Penjujukan genetik virus daripada pesakit di atas kapal akan menentukan strain hantavirus yang terbabit.
Memandangkan kapal itu berlepas dari Ushuaia di selatan Argentina, virus Andes disyaki kerana ia beredar di kawasan itu.
Namun, jika ia membabitkan jujukan New World lain seperti ‘Sin Nombre’ yang hanya ditemui di Amerika Utara, maka jangkitan dari Amerika Selatan boleh diketepikan.
Jika terbukti virus New World sedang merebak antara manusia di kapal itu, ia akan menjadi sesuatu yang belum pernah berlaku setakat ini, menurut pakar. – AFP

