JDT belum dapat hapus ‘badi’ Buriram United

KUALA LUMPUR: Gergasi Thailand, Buriram United terus menjadi ‘pasukan badi’ ataupun ‘bogey team’ buat gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kekalahan terbaharu 1-3 skuad Harimau Selatan di tangan Buriram United pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menyaksikan JDT terus buntu melakar kemenangan dalam lima pertemuan.

Selepas mengharungi lima pertemuan, JDT melakar dua keputusan seri dan tewas dalam tiga perlawanan dengan agregat 3-5.

JDT jelas memiliki reputasi tersendiri dalam pertandingan antarabangsa apatah lagi pernah menumbangkan kelab dari Jepun, Korea Selatan dan juga China.

Malah skuad bimbingan Xisco Munoz hampir mencipta kejutan pada suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sebelum akur tewas tipis 1-2 di tangan juara, Al-Ahli.

Bagaimanapun, reputasi ini gagal diteruskan dengan Buriram United kekal menjadi pasukan ‘terliat’ untuk JDT yang memegang ranking sebagai pasukan nombor satu ASEAN buat masa ini.

Kekalahan 1-3 itu juga menjadi kekalahan terbesar JDT pada musim ini dan ini kali kedua mereka melepaskan tiga gol selepas mengharungi 53 perlawanan setakat ini.

Kali pertama mereka melepaskan tiga gol adalah ketika menewaskan UM-Damansara United 5-3 pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA.

Justeru, mereka tiada pilihan selain perlu bangkit pada aksi kedua di Stadium Buriram, 13 Mei ini dalam usaha melangkah ke final ketiga mereka bagi musim ini.

Ini peluang untuk mereka menambah satu lagi trofi selepas sudah merangkul tiga trofi musim ini iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super.

Mereka juga bakal mempertahankan Piala Malaysia menentang Kuching City FC pada final di TM Stadium Nasional, 23 Mei ini.