MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick memuji pemain tengah Elliot Anderson ketika sasaran utama perpindahan kelab itu bakal beraksi di Old Trafford bersama Nottingham Forest malam ini.
United mahu Anderson menjadi tonggak utama dalam rombakan bahagian tengah bagi menggantikan Casemiro musim depan, namun sedar Forest dijangka menuntut bayaran melebihi 100 juta pound (RM566 juta) untuk bintang England itu, dengan Manchester City turut dianggap pilihan utama mendapatkan khidmatnya.
Ketika Casemiro dijangka mengucapkan selamat tinggal di Old Trafford dalam aksi terakhir di laman sendiri musim ini, pemain yang mungkin menggantikan tempatnya musim depan bakal berada di pihak lawan bersama Forest.
“Dia beraksi dengan baik. Saya fikir dia memainkan peranan besar dalam pasukan mereka. Dia menawarkan banyak kualiti dan mereka memiliki skuad yang sangat berbakat serta berbahaya.
“Mereka menjalani musim yang baik hingga mara ke separuh akhir Liga Europa sebelum tersingkir. Jelas dia pemain penting buat pasukan itu,” kata Carrick, yang seperti Anderson, memulakan karier di akademi Wallsend Boys Club di Tyneside.Play
United juga mungkin mencari tiga pemain tengah musim panas ini dengan nama seperti Carlos Baleba, Adam Wharton, Sandro Tonali, Aurelien Tchouameni, Ederson, Mateus Fernandes, Alex Scott dan Tyler Adams turut dipertimbangkan.
Selain Casemiro, aksi malam ini juga menjadi perlawanan terakhir di Old Trafford buat Tyrell Malacia sebelum meninggalkan kelab secara perpindahan percuma, manakala beberapa pemain lain seperti Manuel Ugarte, Joshua Zirkzee dan Altay Bayindir masih tidak pasti mengenai masa depan mereka di kelab.
Walaupun ada kemungkinan memberi penghormatan terakhir kepada pemain tertentu mempengaruhi pemilihan kesebelasan utama, Carrick menegaskan kepentingan menamatkan musim dengan baik dan mempertahankan kedudukan ketiga dalam Liga Perdana Inggeris.
“Pada penghujung musim memang akan ada sedikit ketidakpastian.
“Apa pun situasinya, pasti ada isu kontrak atau agenda individu dan peranan masing-masing.
“Apa yang boleh saya katakan ialah kami mahu menamatkan musim dengan kuat. Kami sudah berada di kedudukan baik dan mencapai sesuatu setakat ini,” katanya. – AGENSI

