Lima faktor Arsenal akhirnya juarai EPL

LONDON: Arsenal akhirnya menamatkan penantian 22 tahun untuk kembali bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City seri 1-1 dengan Bournemouth.

Skuad kendalian Mikel Arteta berjaya mengekang cabaran City bimbingan Pep Guardiola untuk mengesahkan kejuaraan dengan berbaki satu perlawanan musim ini.

AFP Sport menilai lima faktor utama yang membantu The Gunners akhirnya menamatkan status ‘hampir juara’ selepas tiga musim berturut-turut muncul naib juara.

Raya benteng utama

David Raya memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas EPL buat musim ketiga berturut-turut hasil jumlah rekod tanpa bolos terbanyak, namun musim ini dianggap paling cemerlang sejak menyertai Arsenal dari Brentford pada 2023.

Penjaga gol Sepanyol itu tampil dalam setiap aksi liga dan menjadi watak penting ketika Arsenal meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dan West Ham.

Raya melakukan beberapa aksi penyelamat penting ketika menentang United pada aksi pembukaan musim.

Dia juga memainkan peranan besar ketika semakan VAR membatalkan gol penyamaan West Ham pada masa kecederaan selepas diputuskan berlaku kekasaran ke atasnya awal bulan ini.

Beberapa minit sebelum itu, Raya turut menyelamatkan percubaan Mateus Fernandes yang boleh mengubah perjalanan perebutan kejuaraan memihak kepada City.

“Bagi saya David Raya adalah pemain terbaik musim ini. Dia luar biasa dari awal hingga penghujung musim,” kata legenda Arsenal, Patrick Vieira kepada Sky Sports.

‘Set Piece FC’ jadi senjata

Lebih 40 peratus gol Arsenal dalam EPL musim ini hadir menerusi situasi bola mati.

Daripada 28 gol bola mati, 18 dijaringkan menerusi sepakan penjuru sekali gus mencipta rekod baharu EPL dalam semusim.

Walaupun sering diejek penyokong lawan sebagai “Set Piece FC”, jurulatih pakar bola mati Nicolas Jover berjaya mencipta pelbagai variasi taktikal berkesan buat Arsenal.

Dengan ketepatan hantaran Bukayo Saka dan Declan Rice, selain kekuatan fizikal pemain lain, Arsenal menjadi ancaman besar dalam situasi udara.

Rice nadi utama Arsenal

Walaupun gagal memenangi anugerah pemain terbaik pilihan penulis bola sepak yang menjadi milik Bruno Fernandes, Rice tetap dianggap simbol kejayaan Arsenal musim ini.

Pemain tengah England berusia 27 tahun itu beraksi lebih 4,000 minit dalam semua pertandingan sejak dibeli dengan nilai melebihi £100 juta (RM533 juta) tiga tahun lalu.

Rice menjaringkan empat gol liga dan mencipta lima bantuan gol, namun kerja kerasnya tanpa bola menjadi faktor utama Arsenal memiliki pertahanan terbaik liga.

Kekuatan skuad lebih mendalam

Kecederaan pernah menjejaskan cabaran Arsenal musim lalu ketika gagal mengejar Liverpool.

Namun pelaburan besar Arteta untuk memperkuatkan kedalaman skuad akhirnya membuahkan hasil walaupun beberapa tonggak seperti Saka, Gabriel Magalhaes, Martin Odegaard, Kai Havertz dan Jurrien Timber mengalami kecederaan.

Pemain baharu seperti Eberechi Eze, Martin Zubimendi, Viktor Gyokeres, Noni Madueke, Piero Hincapie dan Cristhian Mosquera memberikan impak besar buat Arsenal dalam perebutan EPL dan Liga Juara-Juara.

Pesaing gagal kekal konsisten

Arsenal sebenarnya mengutip lebih banyak mata dua tahun lalu tetapi tetap tewas kepada City walaupun menang 16 daripada 18 aksi terakhir musim itu.

Sepanjang sedekad lalu City dan Liverpool menetapkan standard tinggi apabila sering menjuarai liga dengan lebih 90 mata.

Namun kali ini 82 mata sudah cukup buat Arsenal menjulang trofi EPL.

Liverpool pula gagal mempertahankan kejuaraan manakala Manchester United menamatkan musim di tangga ketiga selepas memecat Ruben Amorim di pertengahan musim. – AFP