IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, seorang saksi menyerahkan ekzos motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, kepada polis seminggu selepas mangsa dilanggar, Disember tahun lalu.
Remaja lelaki yang menjadi saksi ke-14 pendakwaan itu berkata, ekzos jenama ‘NLK’ jenis empat lejang itu dihantar ke rumahnya oleh seorang rakan lelaki pada 22 Disember tahun lalu.
Remaja itu kemudiannya dihubungi pihak polis melalui panggilan telefon bertanya mengenai ekzos terbabit dan beliau mengaku ada menyimpan barang kes itu.
“Polis datang ke rumah dan saya serahkan kepada seorang pegawai polis bernama Azlan pada jam 5.50 petang, 22 Disember 2023,” katanya.
Beliau memberi keterangan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, pada hari kesembilan perbicaraan seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif.
Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Saksi remaja itu turut memberitahu, dia membantu memayungkan Zaharif di bahu jalan selepas kemalangan itu.
“Waktu itu saya dengar ramai yang katakan ‘Zaharif dah tak ada, Zaharif dah tak ada.’.
“Tidak lama kemudian, kenderaan polis sampai. Seorang pakcik seterusnya menyuruh kami (pelajar sekolah yang berkerumun) pergi ke masjid untuk solat Jumaat.
“Selepas solat Jumaat, saya nampak motosikal ditunggang si mati berdekatan restoran milik bapa Zaharif tetapi waktu itu, saya tidak tahu siapa yang meletakkan motosikal terbabit di situ,” katanya.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Perbicaraan bersambung 2 Disember ini.