NEW DELHI: Ibu negara India pada Khamis mengumumkan penutupan sekolah rendah apabila tahap pencemaran udara mencapai paras berbahaya dengan bermulanya musim sejuk.
Udara di wilayah New Delhi menjadi semakin toksik setiap kali musim sejuk berikutan pembakaran jerami di negeri-negeri sekitar New Delhi, asap pengangkutan dan industri, pembakaran terbuka sisa buangan serta habuk dari tapak pembinaan.
Pada Khamis, indeks kualiti udara (AQI) Delhi mencecah lebih 430, melebihi tahap yang dianggap selamat untuk kesihatan manusia, ketika kabus asap yang tebal menyelubungi negeri-negeri di utara.
“Disebabkan peningkatan tahap pencemaran, semua sekolah rendah di Delhi akan beralih ke kelas dalam talian sehingga diberitahu kelak,” kata Ketua Menteri Delhi, Atishi Marlena, dalam hantaran di X.
Menurut pakar, AQI dalam kategori merbahaya boleh menjejaskan kesihatan orang yang sihat.
Selama beberapa hari ini, ibu negara itu diselubungi kabus asap tebal, yang semakin memburukkan kualiti udara di ibu negara dan kawasan bersebelahan.
Kualiti udara di bandar itu merosot dengan mendadak bulan ini meskipun terdapat langkah seperti larangan membakar mercun dan had ke atas aktiviti pembinaan dilaksanakan.
Ramai yang menyambut perayaan Deepavali tahun ini masih melanggar larangan membakar mercun yang memburukkan lagi tahap pencemaran udara.
Kanak-kanak lebih terdedah apabila penyakit pernafasan dan kardiovaskular meningkat di Delhi serta wilayah di ibu negara yang merangkumi bandar-bandar seperti Gurugram, Faridabad, Noida dan Ghaziabad.
Di negeri utara India yang lain, pegawai cuaca berkata kabus asap tebal menyelubungi beberapa bandar, malah menjejaskan operasi kereta api dan penerbangan.
Menurut Jabatan Meteorologi India, kabus tebal dilaporkan di beberapa bandar pada pagi Khamis dan prosedur menangani penglihatan rendah sedang dilaksanakan di lapangan terbang Delhi, kata pegawai.
Menurut ramalan cuaca, kualiti udara dijangka kekal dalam kategori merbahaya di Delhi pada Khamis dan berkemungkinan berada dalam kategori ‘sangat tidak sihat’ dari Jumaat hingga Ahad.
Di negara jiran Pakistan, kerajaan wilayah Punjab di timur laut mengarahkan orang ramai supaya kekal di rumah dan mengarahkan pejabat awam serta swasta melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi melindungi orang ramai daripada paras kabus asap yang tinggi.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar berkata AQI semasa di Lahore adalah 313, yang sangat berbahaya untuk kesihatan.
“50 peratus daripada semua kakitangan pejabat swasta diarahkan bekerja dari rumah disebabkan kabus asap.
“Keputusan ini terpakai kepada semua pejabat swasta, francais, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 13 November hingga 31 Disember,” lapor Agensi Anadolu seperti yang dinyatakan oleh agensi perlindungan itu di X.
Kerajaan Punjab menutup sekolah di beberapa daerah dan mengarahkan semua pasar ditutup pada 8 malam serta menyekat aktiviti luar, termasuk larangan memasuki taman, zoo, muzium dan premis sukan untuk melindungi orang ramai.
AQI, yang mengukur pelbagai jenis bahan pencemar, meningkat melebihi 500 pada minggu lalu di Lahore. BERNAMA-ANADOLU