Korea Utara tak berminat adakan rundingan dengan AS, Korea Selatan – Menteri Luar Singapura

SEOUL: Korea Utara dilihat tidak berminat untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan atau Jepun, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan berdikari serta pencegahan ketenteraan, kata Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, selepas lawatannya ke negara terpencil itu.

Menurut transkrip dikongsi Kementerian Luar, Balakrishnan bercakap kepada media Singapura semalam selepas melawat Korea Selatan dan Korea Utara masing-masing pada 26 dan 27 Mei lalu.

Lawatan terakhir beliau ke Korea Utara adalah pada 2018.

“Apa yang jelas ialah hubungan mereka kini semakin rapat dengan Russia. China kekal penting bagi mereka, namun ketika ini mereka masih belum bersedia membuka saluran komunikasi yang signifikan dengan AS, Korea Selatan atau Jepun,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump, dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sebelum ini berulang kali menyatakan minat untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.PauseNextMute

Hubungan Pyongyang dengan Moscow semakin erat dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas Korea Utara menghantar ribuan anggota tentera untuk bertempur bersama tentera Russia di Kursk.

Beijing juga dilaporkan berusaha menarik semula Pyongyang ke dalam pengaruhnya, termasuk dengan penyambungan semula perkhidmatan kereta api penumpang dan penerbangan antara kedua-dua negara sejak beberapa bulan lalu.

Balakrishnan turut menyebut mengenai ‘penolakan mutlak dan jelas terhadap penyatuan semula’ dengan Korea Selatan, yang menurutnya berbeza berbanding lawatan beliau sebelum ini, selain menyatakan ibu kota Pyongyang terus membangun meskipun negara itu semakin terasing.

“Ia sebuah bandar raya yang setanding dengan mana-mana bandar moden di Asia Tenggara mahupun Asia Timur Laut,” katanya.

Korea Utara turut meminda perlembagaannya bagi mentakrifkan wilayah negara itu sebagai bersempadan dengan Korea Selatan dan menggugurkan rujukan terhadap penyatuan semula, menurut draf teks yang diteliti Reuters bulan ini, sekali gus mengukuhkan usaha Jong Un untuk menganggap kedua negara Korea itu sebagai negara berasingan.

Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun, yang mengadakan pertemuan dengan Balakrishnan semalam berkata tiada petunjuk Korea Utara akan kembali ke meja rundingan dalam masa terdekat, namun lawatan rakan sejawatnya itu ke Pyongyang memberi peluang untuk menjelaskan komitmen Seoul terhadap keamanan bersama.

Hyun turut berkata beliau percaya Korea Utara akhirnya akan kembali berdialog dengan AS ‘jika syaratnya sesuai’, dalam wawancara dengan agensi berita Yonhap yang diterbitkan hari ini.

Semalam, Kementerian Luar Korea Selatan berkata, Hyun meminta sokongan Singapura dan ASEAN bagi usaha membuka semula dialog dengan Korea Utara.

Balakrishnan berkata beliau sudah menjemput Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui, menghadiri Forum Serantau ASEAN dan menggalakkan Pyongyang mencari peluang sesuai untuk terus berinteraksi dengan dunia luar.