Dua projek rakyat RM46 juta di Sungai Rambai bermula tahun depan

JASIN: Sungai Rambai bakal mengalami transformasi pembangunan drastik susulan dua projek pembangunan bernilai RM46 juta akan mula dilaksanakan di kawasan berkenaan tahun depan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Aziz, berkata menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), pihaknya menerima kelulusan peruntukan di bawah Rolling Plan ke-5 (RP5) berjumlah RM38 juta bagi membina Klinik Kesihatan Sungai Rambai baharu.

Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 2.8 hektar milik KKM di Jalan Parit Putat, di sini sudah dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan klinik kesihatan berkenaan merangkumi pembangunan beberapa kemudahan termasuk kuaters doktor serta petugas kesihatan.

“Alhamdulillah, saya sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana projek berkenaan supaya pecah tanah projek terbabit dilakukan pada Januari tahun depan.

“Buat masa ini, kerja awalan sedang dilakukan termasuk kajian tanah dan sebagainya, namun saya yakin projek itu akan bermula awal tahun depan,” katanya selepas merasmikan Program Kemaskini Maklumat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai serta menyampaikan peralatan paramedik kepada anggota Paramedik Komuniti (PARAKOM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Norazle Sulaiman.

Sementara itu, Siti Faizah yang juga Timbalan EXCO Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut meluluskan peruntukan berjumlah RM8 juta bagi menaik taraf Dataran Riverside Sungai Rambai yang terletak bersempadan dengan Muar, Johor.

Katanya, projek yang turut tersenarai dalam RP5 itu membabitkan beberapa kerja penambahbaikan kawasan itu seperti pengindahan dan keceriaan selain penyediaan produk pelancongan termasuk aktiviti menyelusuri Sungai Kesang, siar kaki serta beberapa lokasi riadah lain.

“Dataran Riverside Sungai Rambai yang sebelum ini dikenali sebagai Laman Belia itu akan mengalami perubahan drastik tidak lama lagi dan saya yakin menjadi tarikan terbaharu, khususnya pelancong dari Selatan untuk ke Melaka.

“Justeru, saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta KKM dan MOTAC yang membuka jalan untuk merealisasikan pembangunan rakyat di Sungai Rambai,” katanya.