Datin Seri Rosmah Mansor. – Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkan Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembelian atau pembiayaan sebuah hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) yang didakwa bernilai AS$13 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
Menurutnya, beberapa saksi berkaitan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membantu dalam siasatan.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Hasil siasatan awal mendapati akaun media sosial yang menularkan dakwaan itu dipercayai akaun palsu.
“Polis menerima tiga laporan berkaitan perkara ini dan siasatan masih diteruskan. Saksi berkaitan juga sudah dipanggil, manakala MCMC memberikan kerjasama dalam siasatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Perangi Scam ‘Dua Pasukan, Satu Matlamat’ di sini, hari ini.
Mohd Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan dakwaan tanpa bukti kukuh kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan serta menyukarkan pendakwaan di mahkamah.
Sebelum ini, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dilaporkan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan hartanah berkenaan.
Rosmah menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar dan berniat jahat bagi mencemarkan reputasinya.
Beliau turut menafikan sebarang penglibatan dalam penggunaan syarikat sementara (shell company), struktur kewangan luar pesisir atau mempunyai kaitan dengan mana-mana individu serta entiti yang disebut dalam video tular berhubung perkara itu.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

