Warga emas umpan RM5, mi goreng sebelum cabul 2 murid dalam stor masjid

MELAKA: Perbuatan keji seorang warga emas yang didakwa mengumpan dua murid perempuan dengan wang RM5 dan mi goreng sebelum mencabul mereka terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata suspek berusia 73 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu dalam stor sebuah masjid di Semabok yang berdekatan dengan sekolah mangsa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek yang tidak berkahwin dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral itu berulang kali terhadap kedua-dua mangsa berusia lapan dan 10 tahun dalam tempoh kira-kira dua minggu sejak 16 Jun lalu.

Katanya, suspek yang juga kariah masjid itu turut meminta murid terbabit merahsiakan hal berkenaan sebelum guru melihat perubahan tingkah laku mereka yang menjadi lebih pendiam.

“Mangsa dipanggil untuk sesi kaunseling oleh guru sebelum menceritakan hal berkenaan.PlayNextMute

“Penjaga murid itu kemudian dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam dan kedua-dua mangsa masih diberikan kaunseling,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada waktu tengah hari selepas tamat waktu persekolahan ketika mangsa menunggu ibu bapa mereka dan duduk di kawasan masjid itu.

“Dari situ mangsa diumpan suspek yang kemudian membawa mereka ke stor sebelum didakwa melakukan perbuatan cabul, namun tidak berlaku kejadian rogol,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat ibu bapa mangsa, suspek yang tiada rekod lampau ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.