CARACAS: Dua gempa bumi kuat melanda Venezuela pada hari Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan 700 yang lain, apabila bangunan-bangunan runtuh di dalam dan sekitar ibu negara Caracas, menurut Presiden Interim Delcy Rodriguez.
Gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda kira-kira 160 kilometer di barat Caracas, diikuti gegaran bermagnitud 7.5, kurang seminit kemudian, menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS, yang menggunakan model ramalan untuk menganggarkan jumlah kematian memaklumkan, angka korban kemungkinan besar akan mencecah ribuan nyawa, dengan kebarangkalian besar melebihi 10,000 orang.
Rodriguez berkata, angka awal itu tidak termasuk mangsa dari negeri La Guaira yang terletak berhampiran Caracas dan menempatkan lapangan terbang bandar itu yang paling teruk terjejas.
“Berpuluh-puluh bangunan runtuh dan kami sedang menjalankan usaha menyelamat yang sangat giat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa yang diizinkan Tuhan. ” katanya dalam penampilan di televisyen negara sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan (0500 GMT) pada Khamis.
Beliau berkata, negara itu kini fokus kepada usaha menyelamat, termasuk ketibaan pasukan penyelamat dari negara lain dalam beberapa jam akan datang, sambil mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump dalam satu hantaran di media sosial berkata, AS sedia, rela dan mampu untuk membantu dalam bencana berkenaan.
“Dua gempa bumi besar yang baru sahaja melanda rakyat Venezuela yang hebat ini adalah berskala besar dan meninggalkan jumlah kematian yang amat menyayat hati,” kata Trump, yang sebelum ini pernah mengarahkan penangkapan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam satu serbuan ganas pada Januari lalu.
Tiga orang terbunuh di daerah Baruta di Caracas selepas dua bangunan runtuh, menurut datuk bandar daerah itu di media sosial. Di daerah Chacao, seorang dilaporkan maut dan empat bangunan runtuh sepenuhnya, lapor datuk bandarnya, Gustavo Duque kepada wartawan.
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello berkata, bangunan, kediaman dan rumah yang runtuh dan pihak berkuasa sedang mengendalikan keadaan dengan segala sumber yang ada dari segi keselamatan dan bantuan awam.
Rakaman video menunjukkan pekerja kecemasan memanjat runtuhan bangunan yang roboh di ibu negara ketika malam menjelma, manakala ahli keluarga yang cemas mencari bantuan bagi orang tersayang yang dipercayai terperangkap.
Seorang penduduk dari bangunan berhampiran, Maria Alejandra menggambarkan keadaan pascagempa seperti suasana dalam filem seram
“Kami terpaksa memanjat serpihan bangunan. Penyelia bangunan bersama bayinya dan semua jiran turun ke bawah. Namun dari bangunan (yang runtuh) itu, saya hanya melihat satu keluarga sahaja yang berjaya keluar,” katanya.

