Taufan Super Bavi landa Pulau Rota milik AS, bawa ancaman kemusnahan besar

ROTA: Taufan Super Bavi yang membawa kekuatan menyamai taufan kategori lima dilaporkan mula melanda pulau Rota milik Amerika Syarikat (AS) di Lautan Pasifik hari ini, sekali gus mencetuskan amaran kemusnahan luar biasa dan situasi yang mengancam nyawa.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) melaporkan bahawa Taufan Super Bavi kini sedang bergerak merentasi pulau berkenaan dengan kelajuan angin kencang diramal mencecah sehingga 290 kilometer sejam (km/j).

Sistem cuaca itu turut membawa angin kencang dan hujan lebat ke bahagian lain di Kepulauan Mariana Utara serta wilayah berasingan AS yang berhampiran, Guam, yang menempatkan kira-kira 210,000 penduduk.

Kumpulan pulau yang terletak kira-kira 9,650 kilometer di barat tanah besar AS itu sebelum ini telah pun dilanda sebuah lagi taufan super, Sinlaku, pada April lalu yang mengakibatkan kerosakan meluas termasuk memusnahkan bumbung rumah, menumbangkan pokok, dan memutuskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu penduduk.

NWS sebelum ini memberi amaran bahawa taufan di Rota boleh menyebabkan sebahagian besar pulau berkenaan tidak dapat dihuni selama beberapa minggu atau mungkin lebih lama.

Kebanyakan rumah tidak diperbuat daripada konkrit dijangka musnah sepenuhnya, manakala hampir semua pokok dan tiang elektrik diramal tumbang, sekali gus mengasingkan kawasan penempatan penduduk dalam tempoh yang lama.

Datuk Bandar Rota, Aubry Hocog, menggesa penduduk supaya bekerjasama dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi melindungi keluarga serta komuniti setempat di pulau kecil yang menempatkan sekitar 1,500 penduduk itu.

Tinjauan pada petang Ahad mendapati suasana di Guam dan Kepulauan Mariana Utara mula sunyi dengan sebahagian besar kedai ditutup rapat, manakala pemilik premis bertindak memasang papan lapis pada tingkap bangunan masing-masing sebagai perlindungan tambahan.

Seorang pemilik kedai makan di Guam, Pinky Cubacub, 55, berkata dia terpaksa membelanjakan sebanyak AS$500 (RM2,036) untuk membeli papan lapis bagi mengelakkan kerugian lebih besar sekiranya premisnya mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, sektor pelancongan turut terjejas selepas beberapa jadual penerbangan terpaksa dibatalkan, memaksa pelancong asing termasuk dari Jepun untuk terus menetap di dalam hotel sepanjang taufan tersebut melanda.

Pakar meteorologi menjelaskan bahawa fenomena pemanasan lautan yang mencatatkan rekod tertinggi pada Jun lalu, ditambah pula dengan permulaan corak iklim El Nino di kawasan tropika Pasifik, menjadi faktor utama yang mempercepatkan peningkatan intensiti ribut tropika di rantau berkenaan.